Empat import, lima tempatan

PUTRAJAYA: Sembilan kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini 18 Julai berbanding semalam 18 kes.  Ia melibatkan empat kes import dan lima kes penularan dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini 8,764 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 96 kes.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau memberitahu, empat kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.

Dua kes import dari Indonesia; satu Singapura dan satu Pakistan.

Daripada lima kes penularan dalam negara, satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan sebelum berlepas ke luar negara (China), dan beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Dr Noor Hisham berkata baki empat kes penularan di dalam negara melibatkan satu kes saringan kontak rapat dengan Kluster Mambong; satu kes saringan pra prosedur di Hospital Bau, Kuching; dan dua kes daripada Kluster Stutong, iaitu kluster baharu.

Tiada kes kematian baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes maut akibat Covid-19, kekal 122 kes sejak 10 Julai.

Terdapat lima kes pulih menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya sebanyak 8,546 kes manakala hanya satu kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment