Kluster Stutong dikenal pasti

KLUSTER baharu dikesan di sebuah pasar di Stutong, Sarawak, dan dikenali sebagai Kluster Stutong selepas 218 orang penjaja di kawasan itu disaring.

Saringan melibatkan 213 warga Malaysia dan lima bukan warganegara – China (tiga orang), Indonesia (satu) dan Vietnam (satu).

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah saringan itu, 56 orang disampel dan mendapati dua kes dikesan positif Covid-19, manakala baki 54 orang adalah negatif.

Penjaja-penjaja pasar itu, dikenal pasti sebagai salah satu kumpulan sasar dalam pendekatan tertumpu.

“Pasar ini telah ditutup buat sementara waktu, bagi pelaksanaan aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman. Punca jangkitan kluster masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berhubung status terkini Kluster Mambong, Dr Noor Hisham berkata, sejumlah lima kes positif Covid-19 dilaporkan, daripada 70 orang yang telah disaring dalam kluster itu setakat pukul 12 tengah hari ini, 18 Julai 2020.

Seramai 65 orang masih menunggu keputusan. Kluster ini melibatkan warga Malaysia dan satu bukan warganegara, iaitu warga Filipina, yang merupakan kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8732).

Mengenai 96 orang yang dibawa pulang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Membawa Rakyat Malaysia Pulang dari New Delhi, India, beliau memaklumkan mereka dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.

Mereka ditempatkan dalam pusat pengawasan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, untuk tempoh selama 14 hari, bagi menjalani kuarantin mandatori.

Ia dijalankan di pusat pemantauan yang ditetapkan, dan bukan sebagai ‘Home Surveilance Order’, dengan mengambil kira kumpulan ini telah kembali dari negara yang berisiko tinggi, dengan jangkitan Covid-19.

Kesemua 72 lelaki dan 24 perempuan dengan pecahan 92 dewasa dan empat kanak-kanak, telah menjalani saringan kesihatan oleh petugas kesihatan yang bertugas, di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA.

Sementara itu, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, terdapat tiga kluster import yang dilaporkan iaitu Kluster PUI Novgorod, Kluster PUI Pitakwa dan Kluster Jupiter.

Kluster PUI Novgorod adalah yang terbesar setakat ini, selepas melaporkan lima kes positif termasuk satu yang dimasukkan ke ICU. Sehingga 14 Julai 2020, sebanyak 22 orang disaring termasuk lima kes positif dalam kluster ini.

Semua 17 orang kontak rapat setakat ini juga disampel dan dikesan negatif Covid-19. Daripada jumlah kontak rapat ini, 13 orang dikenalpasti dari pesawat yang dinaiki dan empat orang ahli keluarga kepada kes ke-8718 dan kes ke-8724.

Kluster PUI Pitakwa pula melaporkan tiga kes positif yang membabitkan satu keluarga (Suami, isteri dan anak). Seramai 44 kontak rapat dikenalpasti dan disaring terutama dari kalangan ahli keluarga, penumpang dan krew  kapal terbang, pemandu teksi serta rakan sekerja. Hasil saringan mendapati  dua dikesan positif, tiga negatif manakala 39 masih menunggu keputusan.

Kluster Jupiter melaporkan tiga kes positif. Seramai 29 kontak rapat dikenalpasti di dalam kapal tersebut di mana kesemuanya merupakan krew kapal. Hasil saringan mendapati dua dikesan positif manakala 27 individu lain dikesan negatif.

Related posts

Leave a Comment