Jangan Berpecah Belah

 

KHUTBAH Jumaat di Selangor hari ini mengajak umat Islam ‘supaya Jangan berpecah belah’ kerana ia akan membawa kehancuran serta mengheret umat ke lembah kemurkaan. Dalam hal ini, khatib mengajak umat Islam mengambil iktibar sejarah kejatuhan kerajaan Abbasiyah dan Empayar Othmaniah.

Umat Islam digesa membuang perasaan tamak, sikap dengki dan dendam kesumat serta menguburkan sifat mementingkan diri sendiri. Semuanya itu adalah musuh kesatuan umat Islam, selain menjadikan kita lemah dalam segenap aspek kehidupan dunia termasuk kekuasaan, sosio ekonomi dan bernegara.

Keharmonian akan musnah apabila sesama umat Islam dengki, khianat kepada agama, saling jatuh-menjatuhkan, tergamak menyokong musuh dan sanggup menggadaikan maruah orang Islam. Negeri dan negara ini bakal runtuh, segala pencapaian akan jatuh dan kemajuan kita akan tersungkur.

Justeru khatib mengingatkan supaya berhati-hati dengan segelintir manusia yang suka menjadi batu api, menabur fitnah dan suka menanam sifat kebencian.

Begitu juga dengan maklumat yang disebar tanpa bersandarkan ilmu dan fakta atau tabaiyun sehingga mereka menangguk di air keruh. Mereka jugalah yang akan mendapat laba keuntungan di atas perpecahan umat Islam.

Umat Islam dinasihatkan mengurus sebarang perselisihan dengan penuh hikmah walaupun ia berpunca daripada sebab yang sangat kecil dan remeh, supaya kesannya tidak membarah.

Kekuatan dan kekuasaan kita akan hilang sekiranya kita terus bersengketa dan berpecah belah. Musuh tidaklah terlalu kuat, tetapi kelemahan dan perpecahan kita sesama sendiri yang menyebabkan musuh menguasai dan menentukan sikap dan tatacara kehidupan kita.

“Oleh itu, marilah kita bersatu atas dasar akidah Islam yang pasti dan
disimpul mati. Bersatu dalam apa juga situasi, bersatu teguh menghadapi
persekitaran dan ancaman musuh yang terang dan terselindung,” kata khatib.

Dalam hal ini, jadikan rumah-rumah Allah (masjid dan surau) sebagai pusat pengupayaan kesatuan ummah yang mampan dan utuh. Kelas-kelas pengajian ilmu yang kita peroleh pula adalah menjadi asas pengetahuan dan tindakan ke arah perpaduan yang lebih ampuh.

Gunakan media sosial seperti WhatsApp dan Instagram untuk luaskan seruan kesatuan dan ukhuwwah. Kita mampu berubah daripada perbalahan kepada perdamaian, dan daripada persengketaan kepada saling hormat- menghormati. Semoga Allah merahmati kita semua.

Related posts

Leave a Comment