SEJAK kebelakangan ini ramai pula yang bertanya bilakah Utusan Malaysia dan Kosmo! akan muncul kembali. Lebih-lebih lagi promosi besar-besaran oleh penerbit. Nampaknya ramai yang masih merindui dua akhbar terbitan syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang sudah gulung tikar itu.
Mulanya saya pun tidak pasti tarikh kelahiran semula sehingga muncul promo secara rasmi. Tarikhnya kini sah 20 Julai, hari Isnin.
Kenapa 20 Julai? Itu saya tidak pasti, kena tanya penerbit Media Mulia. Saya rasa tidak perlu mengambil sempena apa-apa peristiwa berkaitan Utusan yang asal kerana yang penting akhbar itu kembali mewarnai dunia media.
Tidak kurang juga sejak kedengaran akan muncul semula akhbar itu, ramai rakan dan yang pernah berurusan semasa di Utusan bertanyakan sama ada saya ‘comeback’ atau kembali bertugas. Jawapan saya, tidak. Cukuplah hampir 35 tahun bersama Utusan Melayu.
Sekarang masa untuk orang muda. Biarlah mereka menyambung hayat Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia serta Kosmo! dan Kosmo Ahad! Cukuplah saya berkarya dan melepaskan ketagihan menulis di Facebook, bebasnews.my dan selak-selak.com
Yang lahir semula itu hanyalah jenama. Dari Singapura ke Jalan Chan Sow Lin dan ‘mati’ di Jalan Utusan. Kini dihidupkan semula di Jalan Riong yang menempatkan BH, Metro dan NST, sekaligus mengingatkan semula usaha penggabungan Utusan-NSTP pada tahun 2006.
Utusan Melayu dan Media Mulia adalah dua entiti berbeza. Tidak ada kena mengena. Harus faham situasi ini. Jangan keliru.
Walaupun yang tumbuh itu tidak akan sama dengan yang patah dan yang berganti tidak sama dengan yang hilang, sekurang-kurangnya Utusan Malaysia khususnya masih wujud untuk diingati dan dihayati perjuangannya selama ini dalam industri persuratkhabaran.
Umum mengetahui dan menyedari cabaran media cetak pada hari ini. Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila ada surat khabar yang terpaksa menghentikan penerbitannya. Kos cetak dan hasil yang tidak seimbang menyebabkan penutupan kebanyakan akhbar.
Kemerosotan hasil jualan akhbar akibat peralihan kepada dunia akhbar digital, kemerosotan pengiklanan ditambah kurang minat membaca menyebabkan media cetak terpaksa ‘tutup kedai’.
Jika dahulu senaskhah surat khabar mungkin menjadi milik setiap rumah atau ‘lunyai’ dibaca di warung atau kedai kopi, hari ini setiap orang boleh memilikinya di mana sahaja mereka berada. Tidak perlu ke kedai membeli, akhbar itu datang secara atas talian.
Akhbar digital semakin meluas. Adakah kehadirannya membantu industri? Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini banyak akhbar digital diberi percuma. Adakah langkah itu sebagai promosi? Jika itu satu promosi, baguslah untuk menarik pembaca baharu.
Bagaimanapun ia mungkin tidak mampu membantu industri kecuali sekadar menaikkan semula minat membaca atau menambah pembaca akhbar berkenaan. Bayangkan jika akhbar digital itu dikongsi bersama dalam grup WhatsApp dan sebagainya. Hanya seorang ‘membeli’, yang lain tidak.
Itulah sebahagian kecil cabaran media cetak hari ini yang semua orang tahu. Tetapi apakah penyelesaiannya supaya kita sama-sama membantu industri?
Diharapkan kemunculan semula Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo Ahad! akan diraikan pembaca, bukan sekadar mengucapkan tahniah atau mengalu-ngalukannya ‘di atas kertas’ tetapi bantulah untuk meneruskan hayatnya.
Kepada rakan-rakan yang terpilih semula untuk bertugas di dua akhbar ini, selamat maju jaya. Bertugas sebaik mungkin. Walaupun hanya sebilangan kecil diambil semula oleh Media Mulia tetapi sekurang-kurangnya mereka bernasib baik dan bertuah kerana mendapat semula pekerjaan walaupun dalam suasana berbeza.
Masih ramai rakan Utusan Melayu yang diberhentikan atau bersara melalui VSS sedang sengsara dan ‘bertarung’ untuk kelangsungan hidup.
Ada yang tidak bekerja kerana faktor umur dan kesihatan terus menanti pampasan atau ganjaran ibarat menunggu durian yang tidak gugur, ada yang jatuh bangun dalam ‘bisnes’, ada yang melakukan kerja yang tidak pernah terfikir oleh mereka selama ini dan macam-macam lagi.
Akhirnya tahniah kepada team Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia yang diketuai Aznan Bakar sebagai Pengarang dan Zulkifli Jalil sebagai Timbalan Pengarang serta team Kosmo! yang diketuai Wan Hasnan Wan Hasan sebagai Pengarang dan Jamdi Nasir sebagai Timbalan Pengarang.
Selamat maju jaya!