Nasruddin ganti Nik Omar

SETELAH ‘tertangguh’ begitu lama selepas perubahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN), akhirnya Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bertukar ganti.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Nasruddin Hassan dilantik menggantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz yang sebelum ini dilantik mewakili Amanah.

Nik Omar dilantik pada 14 Disember 2018, menggantikan Dr Yusri Mohamad yang menamatkan tempoh jawatannya pada 31 Oktober.

Perlantikan Nik Omar yang juga anak bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat dibuat mengikut Klausa 8(c) Perlembagaan Yadim yang memberi kuasa pelantikan Yang Dipertua Yadim serta timbalannya kepada keputusan Perdana Menteri.

Kontrak lantikan Nik Omar berakhir Disember depan tetapi beliau meletak jawatan semalam.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Mohd Redza Shah Abdul Wahid dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang baharu menggantikan Dr Mohd Daud Bakar. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri  berkata  pelantikan Nasruddin dan Mohd Redza ⁣berkuat kuasa hari ini 16 Julai

“Saya menerima kunjungan Nasruddin Hassan, Yang Dipertua Yadim, dan ⁣Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Pengerusi YaPEIM yang baharu, berkuat kuasa pada hari ini,” katanya dalam hantaran terkini Facebook beliau.⁣

 Zulkifli turut menzahirkan penghargaan kepada Mohd Daud dan Nik Omar  atas sumbangan dan jasa sepanjang berkhidmat dengan organisasi yang berkenaan.

“Semoga Allah SWT membalasnya dengan ganjaran setimpal,” katanya.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Mohd Redza dan Nasruddin, Dr Zulkifli mengharapkan Yadim dan YaPEIM akan terus memacu kecemerlangan ummah.

Related posts

Leave a Comment