PKR cuba rampas Parlimen Tapah

TAPAH 9 Okt. – PKR akan terus bertanding di kerusi Parlimen Tapah pada pilihan raya umum akan datang yang kini disandang Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, sejak tiga penggal lalu.

Timbalan Presiden, Rafizi Ramli, menegaskan, PKR akan melakukan usaha terbaik bagi merampas kerusi itu yang pada pilihan raya lalu dimenangi Saravanan dengan majoriti 614 undi, menewaskan calon Pas dan PKR ketika itu.

Rafizi menjelaskan sekiranya tewas lagi dalam saingan di kerusi itu, PKR akan memastikan tetap ada perubahan dengan lonjakan sokongan kepada parti berkenaan.

“Kalau tidak menang, tidak mengapa tetapi pastikan ada perubahan dan lonjakan yang cukup baik kerana tunggu masa saja untuk kerusi Parlimen Tapah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dan DUN Chenderiang akan dikuasai PKR.

“Perak secara keseluruhannya juga tunggu masa saja untuk kita ambil alih sebagai kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya pada program Jelajah Trak Ayuh Malaysia Parlimen Tapah di tapak ekspo Bukit Baldwin, dekat sini, malam tadi.

Rafizi turut menegaskan , sebarang kesilapan memilih pemimpin pada pilihan raya kali ini bakal memberi kesan terhadap seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Ini bukan soal siapa hendak menjadi wakil rakyat dan siapa menang. Bagi yang beragama Islam, masuk pilihan raya merupakan fardu kifayah yang penting.

“Jika pilihan raya diadakan pada musim banjir, kita akan bersedia mempertahankan hak rakyat untuk melantik kerajaan yang baik,” katanya.

Related posts

Leave a Comment