PUTRAJAYA: Sebanyak lima kes baharu jangkitan Covid-19 iaitu empat tempatan, satu import dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 8,734 kes.
Menurut kenyataan Ketua Pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, setakat jam 12 tengah hari 15 Julai, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 86 kes.
Satu kes import mendapat jangkitan di luar negara melibatkan bukan warganegara Malaysia yang dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.
“Daripada empat kes penularan di dalam negara, satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan bergejala di Kuching, Sarawak. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan,” kata kenyataan itu.
Tiga kes yang melibatkan warga Malaysia yang dikesan membabitkan satu kes saringan pra-pembedahan di Hospital Sungai Buloh, satu kes saringan petugas kesihatan di sebuah pusat perubatan dan satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8,732).
Sehingga kini terdapat lima kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Terdapat satu kes yang memerlukan bantuan pernafasan dan jumlah kematian kekal 122 apabila tiada kes kematian baharu dilaporkan setakat hari ini.
Terdapat dua kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,526 kes (97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).