Pengajian IPT mulai Oktober

PUTRAJAYA: Pelajar institusi pengajian tinggi akan memulakan pengajian mereka semula pada Oktober 2020, kata Menteri Pengajian Tinggi, Dr Noraini Ahmad.

Katanya, tempoh hampir tiga bulan yang masih berbaki sehingga semester baharu dimulakan Oktober ini adalah mencukupi bagi semua pihak membuat persiapan.

Beliau memberitahu, pelajar boleh menghubungi bahagian hal ehwal pelajar di IPT masing-masing dan diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Semua aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan aktiviti pelajar dibenarkan dengan syarat aktiviti tersebut tidak melebihi 250 orang tertakluk kepada saiz ruang dan penjarakan sosial,” ujarnya.

Tambahnya, empat lagi kategori pelajar IPT akan ke kampus secara berperingkat mulai Julai 2020.

Katanya, kumpulan ini merupakan tambahan kepada lima kategori pelajar yang telah diberi kebenaran sebelum ini.

Empat kategori itu adalah : Pelajar-pelajar tempatan di institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) : Pelajar tahun satu, dua, tiga dan empat Universiti Awam dalam bidang pengajian yang memerlukan latihan klinikal, latih amal, praktikal, bengkel, makmal, studio atau peralatan khusus, serta mereka yang perlu menduduki peperiksaan Badan Profesional:  Pelajar tahun satu, dua, tiga dan empat Universiti Awam yang tidak mempunyai akses internet atau persekitaran kondusif, seperti ruang belajar yang sempit atau keadaan yang tidak selesa bagi melaksanakan 5 aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian : Pelajar antarabangsa dari kedua-dua Universiti Awam dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta termasuklah pelajar baharu.

Sementara itu jelasnya, pelajar antarabangsa perlu mendaftar dengan pihak Education Malaysia Global Services sebelum diberikan kebenaran masuk ke dalam negara oleh Jabatan Imigresen.

Noraini berkata, seramai 21,000 pelajar antarabangsa berdaftar di IPT dalam negara dengan sebahagian besar adalah dari Pakistan, Indonesia dan Thailand.

Mereka perlu menjalani ujian PCR atau RTK Antigen dalam tempoh tiga hari sebelum masuk ke Malaysia,” katanya.

Di samping itu, mereka juga dikehendaki menjalani saringan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di pintu masuk negara ini dan seterusnya menjalani kuarantin diri selama 14 hari di lokasi yang akan ditetapkan oleh IPT masing-masing.

Related posts

Leave a Comment