Petisyen bantah PRU musim tengkujuh

SEPANG 28 Sept. –  Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli melancarkan petisyen membantah pilihan raya umum (PRU) diadakan pada musim tengkujuh sekiranya Parlimen dibubarkan sebulan dari sekarang.

Petisyen itu menurut Rafizi dilancarkan ketika UMNO meningkatkan tekanan kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan PRU15 secepat mungkin.

Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR dalam kenyataan menerusi media sosial berkata jika Parlimen dibubarkan sebulan dari sekarang, pilihan raya akan diadakan pada musim tengkujuh

Katanya, PRU15 semasa banjir bermakna lebih RM1 billion akan digunakan untuk menguruskan pilihan raya sedangkan dana rakyat itu lebih baik disalurkan kepada usaha menangani bencana.

“Ia juga bermakna beratus ribu penjawat awam perlu bertugas untuk mengendalikan pilihan raya sedangkan mereka wajar bersama-sama sukarelawan membantu mangsa banjir.

“Hanya suara rakyat yang dapat menghantar isyarat yang jelas bahawa rakyat mahu ahli politik menumpukan perhatian menghadapi bencana banjir, bukannya mengejar jawatan-jawatan politik melalui pilihan raya,” katanya.

Bekas ahli parlimen Pandan itu menyeru orang ramai menandatangani petisyen itu dan menyebarkannya ke saluran masing-masing.

Rafizi turut menyorot bahawa semua laporan ramalan cuaca meramalkan banjir akan menjadi lebih teruk tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Malah sebelum musim tengkujuh tiba, banjir kilat telah berlaku di tempat-tempat yang sebelum ini tidak mengalami banjir teruk.

“Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mendabik dada bahawa UMNO sanggup meredah banjir demi PRU15 yang lebih awal.

“Semua parti politik akan bersedia secukupnya apabila PRU15 dipanggil. Isunya bukanlah soal parti-parti politik gah berkempen walaupun menghadapi banjir.

“Isu pokok ialah semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk menghadapi banjir dan semua perkara yang boleh ditangguhkan atau dielakkan, wajarlah ditangguhkan dahulu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment