44 hari tanpa kes tempatan

INDONESIA mencatatkan 1,853 kes positif baharu Covid-19, tertinggi sejak kes pertama dikesan 2 Mac lalu menjadikan jumlah kumulatif 68,079.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata, 50 kematian dilaporkan menjadikan kematian keseluruhan setakat ini 3,359 orang.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 8 Julai 2020 sebanyak 13,636 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,102 kes, diikuti Jakarta (665 kes), Jawa Tengah (225) dan Kalimantan Selatan (206).

Jawa Timur pula mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 14,967 kes, diikuti Jakarta (13,211 kes) dan selebihnya di 32 lagi provinsi lain.

SINGAPURA mengesahkan 158 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan 45,298 kes. 

Menurut data Kementerian Kesihatan (MOH), terdapat sembilan kes dalam komuniti terdiri daripada empat warga tempatan atau pemastautin tetap dan lima pemegang  pas kerja.  Terdapat tiga kes import dan mereka diberikan Notis Duduk di Rumah (SHN) sebaik tiba di Singapura. 

Data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 604 kes sebagai kes import, 1,982 kes komuniti dan 42,554 penghuni asrama. 

Setakat 12 tengah hari semalam, 41,002 atau kira-kira 90 peratus daripada pesakit pulih sepenuhnya. Terdapat 219 kes masih di hospital, dengan seorang daripada mereka dirawat di unit rawatan rapi.

FILIPINA merekodkan 2,539 kes hari ini yang meliputi 1,922 kes terkini dan 617 kes lewat yang membawa jumlah keseluruhan 50,359.

Jabatan Kesihatan melaporkan, lima kematian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 1,314.

Kes pulih pula meningkat kepada 12,588 apabila 202 pesakit lagi disahkan sembuh.

THAILAND buat hari ke-44 tidak mencatatkan kes penularan tempatan sebaliknya melaporkan dua kes baharu Covid-19, kedua-duanya melibatkan kes mereka yang dikuarantin selepas pulang dari luar negara.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), kes berkenaan melibatkan seorang lelaki berusia 31 tahun yang pulang dari India pada 23 Jun dan dikuarantin di Bangkok. Satu lagi kes melibatkan seorang lelaki berusia 39 tahun yang pulang dari Indonesia pada 24 Jun dan dikuarantin di wilayah Chon Buri.

Setakat ini Thailand merekodkan 3,197 kes di mana 3,074 dilaporkan pulih termasuk dua pesakit yang pulih dalam tempoh 24 jam. Sebanyak 65 pesakit masih di hospital manakala kematian kekal 58.

Related posts

Leave a Comment