Kluster Sri Petaling tamat

PUTRAJAYA: Kluster Sri Petaling, kluster terbesar negara yang mula dikesan pada 11 Mac lalu diisytiharkan tamat selepas tiada sebarang kes Covid-19 dicatatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tersebut

menjangkiti 3,375 individu yang menyertai perhimpunan berkenaan termasuk ahli keluarga mereka.

Sehingga 8 Julai lalu, seramai 42,023 individu disaring, daripada jumlah berkenaan 3,375 kes positif dilaporkan iaitu 38.9 peratus daripada jumlah kes positif Covid-19 di negara ini.

Kes bagi kluster dan sub-kluster di bawahnya adalah dikesan di tujuh negeri membabitkan 2,550 warganegara Malaysia dan 825 bukan warganegara dari 28 negara.

Dalam sidang media hari ini, Dr Noor Hisham berkata, kluster tersebut berlaku selepas satu perhimpunan selama empat hari diadakan, dengan dihadiri lebih 16,000 individu.

Daripada jumlah kehadiran, seramai 14,500 individu merupakan rakyat Malaysia, sementara 1,500 lagi bukan warganegara.

“Kluster ini besar kemungkinan berpunca dari luar negara dan kemudiannya tular di dalam komuniti melalui aktiviti perhimpunan secara besar-besaran melalui kontak rapat kes yang positif.

“Penularan jangkitan Covid-19 melalui kluster ini telah menular ke seluruh negara Malaysia,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes positif pertama kluster itu dilaporkan seminggu selepas perhimpunan berakhir, iaitu melibatkan kes ke-131 dan kes ke-136.

Jelas beliau lagi, kebanyakan kes positif adalah tidak bergejala iaitu melibatkan 2,187 kes atau 64.5 peratus daripada jumlah keselurhan kes.

Seramai 87 pesakit daripada kluster tersebut dirawat di Unit rawatan rapi (ICU), sementara 29 memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment