Bagaimana virus merebak?

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meneliti laporan susulan sekumpulan saintis yang menggesa supaya agensi itu menyemak semula saranan berhubung jangkitan Covid-19.

Baru-baru ini, 239 saintis mendakwa koronavirus SARS-CoV-2 boleh tersebar menerusi partikel kecil dalam udara sedangkan WHO memaklumkan ia merebak dari individu ke individu lain menerusi titisan cecair badan dari hidung atau mulut.

WHO mendakwa virus itu disebar apabila individu yang mempunyai virus berkenaan batuk, bersin atau bercakap.

Bagaimanapun, fakta WHO disanggah oleh kumpulan saintis berkenaan melalui  surat terbuka kepada agensi itu baru-baru ini yang turut mendesak agar WHO mengemas kini garis panduan berhubung Covid-19.

WHO memaklumkan akan meneliti panduan berkenaan dengan pakar teknikal dan sebarang perubahan dalam penilaian risiko penyebaran Covid-19 akan mengubah nasihat pertubuhan itu berhubung amalan penjarakan sosial satu meter.

Kerajaan yang bergantung kepada polisi berkenaan juga mungkin perlu mengubah pendekatan kesihatan awam bagi menghentikan penyebaran virus tersebut.

Kumpulan 239 saintis dari 32 negara itu mendakwa menemui bukti koronavirus SARS-CoV-2 dalam partikel kecil di udara boleh menjangkiti manusia.

Hasil kajian para saintis itu akan diterbitkan dalam jurnal saintifik minggu depan.

Related posts

Leave a Comment