Haji: 70 peratus warga asing

RIYADH : Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membuka pendaftaran haji terhad tahun ini dengan syarat yang ketat mulai Isnin, 6 Julai sehingga Jumaat ini melalui laman webnya localhaj.haj.gov.sa

Hanya 10,000 akan dipilih di mana 70 peratus diperuntukkan kepada warga asing yang tinggal di Arab Saudi dan selebihnya untuk warga tempatan.

Media Arab Saudi melaporkan bakal jemaah perlu mematuhi kriteria tahap kesihatan termasuk tidak menghidap diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, dan pernafasan, tidak dijangkiti Covid-19 atau menunjukkan gejalanya.

Bagi jemaah tempatan pula, mereka akan dipilih dalam kalangan anggota barisan hadapan bagi sektor kesihatan dan keselamatan sebagai penghargaan golongan itu memerangi wabak Covid-19.

Hanya mereka yang berumur antara 20 hingga 50 tahun layak memohon dan keputusan dijangka diketahui Ahad, 12 Julai.

Pemohon juga perlu bersedia untuk dikuarantin di rumah selama 14 hari sebelum haji dan juga 14 hari selepas haji.

Mereka perlu menghubungi Kementerian Kesihatan setiap hari melalui aplikasi mudah alih sesuai dengan protokol yang diluluskan oleh kementerian.

Kementerian berhak membatalkan permohonan sekiranya tidak mematuhi syarat kesihatan atau peraturan malah membatalkan kelulusan pada bila-bila masa sekiranya mendapati terdapat perbezaan dalam maklumat yang diberikan.

Related posts

Leave a Comment