6 kes : 4 import, 2 tempatan

PUTRAJAYA : Enam kes baharu jangkitan Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 8,674 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah kes baharu, empat merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan rakyat Malaysia manakala dua lagi kes adalah penularan dalam negara, yang membabitkan warga tempatan.

Kes tersebut dikesan hasil saringan di tempat kerja, di mana satu kes dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan satu lagi dari Selangor.

Terdapat lima kes yang telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 8,481 kes (97.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 72 kes.

Dr Noor Hisham memaklumkan tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 121 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ini merupakan hari ke-23 berturut-turut Malaysia tidak mencatatkan sebarang kes kematian berkaitan pandemik tersebut.

Setakat ini, terdapat dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana kedua-dua pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment