Jumlah kes di Indonesia 66,226

INDONESIA merekodkan 1,268 kes lagi dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 66,226 kes, kata  Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto.

Beliau berkata dalam tempoh 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah hari ini 7 Julai 2020, sebanyak 68 lagi kematian direkodkan, menjadikan keseluruhan mereka yang maut akibat Covid-19 di negara itu berjumlah 3,309 orang. 

Sebanyak 13,471 pesakit masih dalam pemantauan.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,079 kes, diikuti Jakarta (661 kes), Jawa Tengah (220), Kalimantan Selatan (205) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia

VIETNAM mengekalkan tiada kes baharu Covid-19 dalam kalangan komuniti selama 82 hari berturut-turut dengan merekodkan sejumlah 369 kes jangkitan, termasuk 229 kes import yang dikuarantin semasa tiba di negara itu.

Laporan Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan untuk Pencegahan dan Pengawalan Covid-19, daripada jumlah itu 341 pesakit atau 92.4 peratus sudah sembuh dan tiada kematian dilaporkan.

Seramai 13,047 kontak pesakit atau mereka yang pulang dari kawasan dilanda wabak masih dikuarantin sama ada di hospital, pusat khas atau di rumah.

SINGAPURA melaporkan 157 lagi kes jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah keseluruhan 45,140 kes.

Data Kementerian Kesihatan (MOH) menunjukkan, terdapat 20 kes dalam komuniti melibatkan 12 warga tempatan atau penduduk tetap dan lapan pemegang pas kerja.

MOH berkata terdapat tiga kes import, yang kesemuanya diberikan Notis Duduk di Rumah (SHN) sebaik tiba di Singapura.

Pada tengah hari semalam, 40,717 atau kira-kira 90.5 peratus pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Terdapat 208 kes yang  masih berada di hospital pada Isnin, dua di unit rawatan rapi sementara jumlah kematian kekal 26 orang.

FILIPINA setakat pukul 4 petang hari ini, 7 Julai 2020 melaporkan jumlah kumulatif kes Covid-19 terus meningkat kepada 47, 873.

Jabatan Kesihatan (DOH) menyatakan, terdapat 1,540 kes hari ini yang merangkumi 993 kes terkini dan 547 kes lewat. Kes terkini hari ini adalah berdasarkan laporan pencapaian harian yang dihantar  69 daripada 74 makmal yang beroperasi.

DOH juga mengumumkan 201 pemulihan yang membawa jumlah keseluruhan pemulihan 12,386.

Sementara itu enam kematian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 1,309 yang meninggal dunia.

THAILAND mengekalkan jumlah kes 3,195 dengan kematian 58 kes apabila tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lepas.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), jumlah kes pulih pula 3,072 sementara 65 lagi masih di hospital.

Related posts

Leave a Comment