Jumlah tertinggi di Indonesia

THAILAND mencatatkan enam kes baharu Covid-19, semuanya melibatkan warganegaranya yang pulang dari luar negara, dan sifar kematian sejak 24 jam yang lepas, menjadikan jumlah kes kepada 3,179 dan 58 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19, Panprapa Yongtrakul berkata, empat yang baru pulang dari Indonesia dan masing-masing satu dari Afrika Selatan dan Sudan yang diuji positif sedang menjalani kuarantin 14 hari di fasiliti negara.

Sehingga hari ini, 3,059 pesakit pulih manakala 62 lagi masih di wad. Hari ini juga menandakan 38 hari berterusan tanpa jangkitan tempatan di negara ini.

Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Sukan, Phiphat Ratchakitprakarn berkata, Thailand merancang untuk membuka semula pintunya kepada 1,000 pelancong asing setiap hari, bagi membenarkan mereka melawat lima wilayah di negara ini.

INDONESIA mencatatkan 1,624 kes positif Covid-19 baharu dalam tempoh 24 jam, jumlah tertinggi sejak kes pertama virus itu dikesan di negara itu pada 2 Mac lepas.

Jumlah keseluruhan kes positif kini 59,394, manakala jumlah kematian meningkat kepada 2,987 orang dengan 53 lagi kematian.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19 Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, seramai 13,359 pesakit Covid-19 masih dalam pemantauan.

Peningkatan kes positif membimbangkan banyak pihak berikutan beberapa provinsi mula melaksanakan proses transisi atau pemulihan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) yang membenarkan beberapa aktiviti sosioekonomi sejak awal dan pertengahan Jun lepas. Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 948 kes, diikuti Jakarta (638 kes), Kalimantan Selatan (190) .

SINGAPURA melaporkan 188 kes baharu jangkitan Covid-19 dengan 10 kes dalam komuniti, menjadikan jumlah keseluruhan  44, 310 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), kes komuniti itu melibatkan lapan rakyat Singapura atau penduduk tetap dan dua lagi pemegang pas pekerja.

Sebagai tambahan, terdapat kes import yang ditempatkan di bawah Notis Duduk-Rumah setibanya di Singapura manakala selebih kes baharu itu melibatkan pekerja asing di asrama, demikian menurut kementerian berkenaan.

Setakat tengah hari semalam, 39,011 atau kira-kira 88 peratus daripada jumlah 44,122 pesakit didapati sembuh manakala 209 kes disahkan masih berada di hospital semalam dengan satu di unit rawatan rapi. Setakat ini, 26 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.

FILIPINA sehingga pukul 4 petang hari ini, 2 Julai 2020, melaporkan 294 kes iaitu 52 kes terkini dan 242 kes lewat lapor yang membawa jumlah keseluruhan 38,805.

Jabatan Kesihatan juga mengumumkan 235 kes pemulihan menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh 10,673. Empat kematian dilaporkan menjadikan jumlah kes sebanyak 1,275.

BRUNEI DARUSSALAM pula tidak mencatatkan sebarang kes sejak lebih sebulan dan kekal dengan 141 kes di mana 138 sembuh dan tiga meninggal dunia.

Related posts

Leave a Comment