Siasat buku hina Jata Negara

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil pihak yang terbabit menerbitkan buku yang didakwa menghina Jata Negara, kata Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin.

Katanya, polis diminta untuk menyiasat segera dan mengambil tindakan perlu kerana perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan tidak patriotik.

“Saya telah mengarahkan pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan secepat mungkin.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak patriotik,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini, 29 Jun 2020.

Beliau berkata adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak yang menghina lambang Kerajaan Persekutuan Jata Negara, dan boleh disiasat mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Lambang dan Nama (1963).

Terdahulu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata polis akan memanggil mereka yang terbabit dengan penerbitan buku terbabit yang didakwa menghina ‘Jata Negara’.

Sementara itu, wakil Pemuda Barisan Nasional dan Pemuda Pas membuat aduan polis berhubung perkara itu hari ini.

Exco Pemuda UMNO, Muhammad Azri Wan Deris berkata, isu sebegini boleh menggugat ketenteraman awam.

“Saya berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat secara terperinci kes ini.

“Saya difahamkan buku ini telah diterbitkan pada tahun lalu, adakah buku ini mendapat kelulusan daripada KDN atau dijual di luar negara,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini.

Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizam Abdullah Hamidi; Exco Pemuda Pas, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai; Exco Pemuda MCA, Lim Soon Pin dan setiausaha Pemuda MIC, G Theeageesh.

Related posts

Leave a Comment