Taman tema dibuka 1 Julai

MULAI 1 Julai,  54 taman tema termasuk taman tema air di seluruh negara dibenarkan beroperasi dengan pengusaha perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk penjarakan sosial dan had pengunjung berdasarkan kapasiti ruang serta saiz kawasan taman tema.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob. berkata, kebenaran operasi itu membabitkan lebih 10,000 tenaga kerja.

Pengunjung juga perlu menjalani proses pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera, pemeriksaan suhu badan dan penyediaan pensanitasi tangan manakala pengusaha

perlu mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Penyenggaraan Kolam Renang Awam oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), serta Garis Panduan Pemantauan Kualiti Kolam Air.

Katanya, garis panduan serta SOP itu boleh diperolehi di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, polis menahan 65 orang termasuk pengunjung pusat hiburan kerana kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada hari ke-19 pelaksanaannya. Daripada jumlah itu, 36 orang direman dan 29 lagi dikenakan kompaun

“Inilah bukti apa yang saya sebutkan (sebelum ini) bahawa pihak berkuasa terus memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP. Antara aktiviti terlarang yang melanggar SOP termasuklah acara dan pertandingan sukan, aktiviti karaoke dan pusat hiburan, serta aktiviti judi atas talian secara beramai-ramai,” katanya.

Selain itu, 3,891 pasar raya, 5,299 restoran serta 1,940 penjaja, 921 kilang, dan 1,670 pasar awam atau pasar tani telah diperiksa. Turut diperiksa adalah 3,729 tempat ibadat serta 1,467 tempat riadah.

Sementara itu, katanya Operasi Benteng yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal sempadan dengan ketat.

Related posts

Leave a Comment