PAP lancar manifesto PRU

PARTI Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini, 27 Jun melancarkan manifesto pilihan raya parti dengan slogan ‘Kehidupan Kita, Pekerjaan Kita, Masa Depan Kita’,

Lee berkata, dalam pilihan raya biasa, manifesto parti itu akan tertumpu kepada rancangan jangka panjang untuk Singapura tetapi kali ini ‘tumpuan utama manifesto itu adalah bagaimana kita dapat bekerjasama untuk mengatasi krisis ini’,

Katanya, memastikan bendera Singapura terus berkibar dan mengharungi krisis paling teruk yang pernah dihadapi dunia sejak berdekad, adalah keutamaan paling mendesak dan mencabar bagi pemerintah PAP.

Ia akan merangkumi cara bagaimana menjaga keselamatan warganegara Singapura dan pekerja asing dan mencegah Covid-19 supaya tidak keterlaluan menggugat sistem penjagaan kesihatan Singapura.

Begitu juga usaha memulakan semula dan mengubah ekonomi, menyelamatkan pekerjaan serta perniagaan, dan memberi pekerja kemahiran semula untuk pekerjaan baru.

Lee berkata pilihan raya kali ini adalah luar biasa daripada yang selalunya iaitu ketika negara berada di tengah-tengah krisis paling teruk yang pernah dihadapi dunia sejak berdekad lama. 

“Tugas segera untuk memastikan Singapura bergerak lancar tidak lagi menjadi sesuatu yang rutin,” tegas beliau yang juga Setiausaha Agung PAP.

Menurut Lee, tanpa usaha yang sangat besar, kita tidak dapat menjamin apa yang telah dibina dengan gigih selama berdekad akan terus berdiri dan tidak runtuh dalam krisis Covid-19 ini. 

Katanya, jarang sekali sebelum ini pemerintah memainkan peranan genting dalam melindungi kehidupan dan mata pencarian.

“Ini sebabnya kepimpinan adalah penting, siapa yang anda pilih bagi membentuk pemerintah seterusnya dan mutu kepimpinan itu juga, adalah penting,” tegas  beliau. 

Lee juga mendedahkan bahawa kira-kira 20 Ahli Parlimen akan bersara tahun ini termasuk Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan dan Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong, yang merupakan bekas perdana menteri Singapura.

PAP juga memperkenalkan 27 orang calon baharu untuk pemilihan akan datang.

Pilihan raya umum (PRU) itu akan menyaksikan pemilihan 93 ahli parlimen, berbanding 89 MP sebelum ini.  Wakil rakyat itu adalah untuk 14 Kawasan Pilihan Raya Kerusi Tunggal (SMC) dan 17 Kawasan Pilihan Raya Kumpulan Perwakilan (GRC).  

Dalam PRU Singapura pada tahun 2015, PAP memenangi 83 daripada 89 kerusi, dengan enam kerusi dimenangi Parti Pekerja.

Related posts

Leave a Comment