Sokongan GRS demi Sabah

KOTA KINABALU 25 Nov. – Demi kebaikan Sabah dan kestabilan politik. Itu yang mendorong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Pengerusi GRS, Hajiji Noor, berkata, beliau menyampaikan hasrat berhubungan sokongan itu kepada Anwar, malam tadi.

“Demi kebaikan Sabah, kestabilan politik dan sebagainya maka kita memberi sokongan kepada beliau dan kerajaan Persekutuan,” katanya selepas pembentangan Belanjawan 2023 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah menegaskan, pihaknya tidak mahu rancangan membabitkan kepentingan rakyat dan negeri terganggu disebabkan politik.

“Kita ada tiga tahun lagi untuk memerintah negeri, jadi kita tidak mahu terlalu berpolitik dan bermacam gangguan kerana yang penting ialah kepentingan rakyat dan negeri,” katanya yang mahu agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat direalisasikan sebagai keutamaan untuk rakyat Sabah.

Beliau berkata, jalinan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak menjejaskan hubungan GRS dengan Barisan Nasional (BN) Sabah.

“Saya rasa tiada masalah. Semua pemimpin parti berfikiran matang. Mereka juga memikirkan negeri ini dan rakyatnya.

Katanya, apa yang penting semua pemimpin memberi fokus kepada pemulihan ekonomi, membangunkan negeri Sabah yang memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Related posts

Leave a Comment