Anwar terlepas peluang lagi?

GILIRAN Shafie Apdal pula. Adakah ini bermakna Presiden PKR, Anwar Ibrahim terlepas lagi peluang menjadi Perdana Menteri (PM)? Cadangan nama Shafie itu diumumkan Dr Mahathir Mohamad yang gagal mendapat sokongan PKR untuk menjadi PM buat kali ketiga.

Dr. Mahathir mendedahkan nama Presiden Parti Warisan Sabah itu dipersetujui dalam satu perbincangan tidak formal pada 25 Jun lepas di Rumah Tamu Sabah, Kuala Lumpur, antara Shafie, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Pengerusi DAP Tan Kok Wai, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Selain itu, mereka turut bersetuju menamakan Anwar sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1, dan Mukhriz Mahathir sebagai calon Timbalan PM 2.

“Mungkin ada yang bertanya kenapa Shafie dicalonkan. Mungkin ada yang telah lupa bahawa Shafie adalah salah seorang pemimpin asal menentang Kerajaan kleptokrasi sejak sebelum pilihan raya ke-14. Dia juga salah seorang pemimpin yang menjadi mangsa awal Kerajaan Najib 2 dan telah disingkir dari jawatan Menteri serta Naib Presiden UMNO kerana tidak dapat menerima perbuatan rasuah dan pencurian wang rakyat menerusi skandal 1MDB yang begitu memualkan,” katanya.

Ujarnya lagi, jika langkah itu berjaya, mereka percaya ia akan merapatkan lagi hubungan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, mereka akan menunggu persidangan Parlimen, dan beliau sendiri akan mengemukakan usul tidak percaya terhadap kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Katanya, dengan sokongan Ahli-Ahli Parlimen yang tidak boleh menerima Kerajaan pintu belakang Muhyiddin dan mahu mengembalikan mandat rakyat akan bersama beliau dan rakan-rakan lain menyokong usul Shafie menjadi PM.

“Jika usaha ini berjaya, langkah untuk pastikan asas demokrasi seperti yang dituntut rakyat akan dapat kita penuhi. Kita perlu tamatkan Kerajaan yang tidak dipilih rakyat,” katanya dalam siaran langsung di Facebook rasmi beliau.

Sementara itu, DAP dan Amanah melihat pencalonan Shafie sebagai bakal Perdana Menteri adalah pilihan baharu untuk mengembalikan mandat rakyat kepada Pakatan Harapan (PH)

Dalam kenyataan yang ditandatangani Mohamad Sabu, dan Guan Eng itu, mereka berkata ia suatu opsyen baharu mengembalikan Putrajaya kepada gabungan PH dan Warisan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Bagaimanapun, mereka berkata, cadangan tersebut perlu dibincangkan di peringkat kepemimpinan pusat Amanah dan DAP terlebih dahulu seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH untuk diputuskan bersama.

(Foto hiasan)

Related posts

Leave a Comment