PKPD Kampung Orang Asli

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang di Batang Padang, Perak akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok hingga 3 Februari ini.

Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu dibuat selepas pihak berkuasa mengesan 12 kes positif Covid-19 di kampung berkenaan selain 87 kontak rapat sedang dikuarantin ketika ini.

“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan mengawal pergerakan penduduk serta memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan bersasar COVID-19 di lokaliti itu yang melibatkan 494 penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata hingga semalam, seramai 178,370 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 6,677 majikan, dengan 3,520 daripada mereka  disahkan positif Covid-19.

Ini susulan arahan kerajaan agar semua pekerja asing khususnya di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan menjalani ujian saringan Covid-19 dengan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan masing- masing.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata seramai 752 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP semalam dan daripada jumlah itu 718 individu dikompaun manakala 34 lagi direman.

Related posts

Leave a Comment