Tidak lagi sendirian di masjid

“ALHAMDULILLAH, kalau dapat peluang jadi Imam, saya tidak lagi bersendirian di masjid,” itu catatan Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir yang menulis mengenai solat Jumaat disambung semula mulai esok 26 Jun 2020.

Katanya, selepas cuti selama lebih tiga bulan, ini adalah pencapaian penting dalam perjuangan menentang Covid-19.

“Bermakna keadaan semakin baik dan kita bersedia untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk melindungi jemaah dan masyarakat. Marilah kita bersyukur kepada Allah kerana kini kita boleh menegakkan Syiar (simbol) agama kita yang penting ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan supaya lebih teliti dan bertanggungjawab, kerana masih ada risiko jangkitan yang sebenar.

“Kita perlu mulakan dengan kapasiti yang banyak dikurangkan kerana kita fokus untuk menjaga keselamatan. Ramai golongan yang tidak perlu menunaikan solat Jumaat sekarang, jika anda tidak sihat, orang tua atau tidak boleh menempah ruang,” katanya melalui Facebook Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Menurut Dr. Nazirudin, solat Jumaat perlu disambung semula selagi ia selamat untuk berbuat demikian, tetapi untuk melakukan ini secara berperingkat walaupun tidak semua orang boleh hadir.

Katanya inilah intipati Islam. Ia mudah, fasilitatif, dan tidak membebankan sesiapa lebih daripada apa yang kita boleh lakukan. Islam juga tentang melakukan perkara secara berperingkat sebagai satu masyarakat dan meletakkan orang lain sebelum diri kita sendiri.

“Terima kasih kerana melakukan perkara yang betul, kerana melindungi satu sama lain, dan memastikan saudara-saudara anda juga dapat menunaikan Jumaat. Ini juga adalah pengorbanan anda. Marilah kita melakukan ini dengan indah, dan bersama-sama:” tulisnya.

Sebanyak 66 masjid di Singapura akan memulakan solat Jumaat esok dengan had jemaah 50 orang. Setakat pukul 3 petang semalam, semua slot solat Jumaat untuk esok sudah penuh.

(FOTO FB MUIS)

Related posts

Leave a Comment