Kes 10 juta minggu depan

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan jumlah kes positif Covid-19 seluruh dunia akan mencecah 10 juta pada minggu hadapan, kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Grebeyesus.

Beliau berkata, lebih daripada 9.1 juta kes Covid-19 telah dilaporkan kepada WHO dan lebih daripada 470,000 kematian.

“Pada bulan pertama wabak ini, kurang daripada 10,000 kes dilaporkan kepada WHO. Pada bulan lalu, hampir empat juta kes telah dilaporkan.

“Kami menjangkakan akan mencapai 10 juta kes dalam minggu depan. WHO menganggarkan bahawa pada kadar semasa sekitar 1 juta kes baru seminggu,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang mengalami gejala parah Covid-19 memerlukan oksigen tambahan namun ketika ini permintaan melebihi daripada bekalan.

Katanya, dunia memerlukan sekitar 620,000 meter padu oksigen sehari iaitu sekitar 88,000 silinder besar.

“Bagaimanapun, banyak negara kini mengalami kesulitan dalam mendapatkan alatan oksigen. 80 peratus pasaran dimiliki oleh hanya beberapa syarikat dan permintaan kini melebihi bekalan,” katanya di Geneva pada sidang media 24 Jun.

Justeru, agensi kesihatan itu menggesa penyelidikan vaksin pandemik mesti diteruskan selain usaha rawatan terapi bagi mereka yang menderita akibat virus itu.

WHO melaporkan banyak negara yang memerlukan alatan oksigen dan berada dalam keadaan sukar untuk mendapatkannya.

Agensi kesihatan itu juga mengumumkan dengan rakan sekutu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), alatan oksigen dan bekalan lain sedang diberikan kepada negara sangat memerlukan.

Sementara itu, Dr Tedros  turut menyokong keputusan Arab Saudi untuk mengehadkan perjalanan haji tahun ini.

Katanya, mengutamakan kesihatan adalah pilihan yang harus dibuat oleh semua negara ketika mendepani pandemik Covid-19.

Menurut Dr Tedros, persoalan bagaimana perhimpunan melibatkan orang boleh diadakan dengan selamat adalah sangat penting.

“Ketika beberapa negara mulai membuka kembali sosial dan ekonomi mereka, persoalan mengenai bagaimana mengadakan perhimpunan melibatkan sejumlah besar orang dengan selamat menjadi semakin penting,” katanya.

Related posts

Leave a Comment