Kematian mengatasi SARS

KEMATIAN akibat wabak Koronavirus di China kini mengatasi angka mereka yang meninggal dunia akibat Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang meragut hampir 650 jiwa di tanah besar China dan Hong Kong pada tahun 2002-2003.

Dalam tempoh empat jam lalu, angka kematian terkini akibat Koronavirus telah mencapai 724 orang sementara jumlah kes pula hampir 35,000 orang.

Selain itu, beberapa negara terus mencatatkan kes baharu termasuk dua kes di Emiriyah Arab Bersatu, tiga di Jepun dan satu di Jerman. Bagaimanapun belum ada kematian dilaporkan di luar China kecuali di Hong Kong dan Filipina.

Sementara itu pasangan suami isteri didenda AS$10,000 kerana gagal mematuhi arahan kuarantin 14 hari oleh pihak berkuasa kesihatan Taiwan.

Semalam di Singapura, kerajaan republik itu mengesahkan tiga kes baharu jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV), menjadikan kes keseluruhannya kini berjumlah 33.

Singaputa turut meningkatkan penilaian risikonya dari DORSCON kuning kepada oren, memandangkan sudah ada beberapa kes jangkitan tempatan tanpa kaitan dengan kes-kes terdahulu atau sejarah perjalanan ke China.

DORSCON merupakan kerangka kerja ditanda dengan kod warna bagi menunjukkan keadaan semasa penyakit, di samping menetapkan apa yang perlu dilakukan bagi mengelak dan mengurangkan impak jangkitan.

Di Sabah! sekatan perjalanan ke semua pintu masuk melalui udara, laut atau darat, berkuat kuasa serta-merta mulai hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong berkata langkah berkenaan bagi mengekang penyebaran novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) walaupun Sabah kini bebas dari mana-mana individu yang diuji positif terhadap virus itu.

Beliau berkata sekatan perjalanan itu akan melibatkan semua warga asing serta warganegara Malaysia (bukan pemastautin Sabah) dengan sejarah perjalanan baru-baru ini ke tanah besar China dalam tempoh 14 hari yang lepas, yang tidak akan dibenarkan masuk ke negeri ini.

“Mana-mana rakyat Sabah, pemastautin tetap Sabah dan penduduk Sabah dengan pas kerja, pas pelajar, pas lawatan sosial jangka panjang atau apa-apa perintah pengecualian, pulang dari tanah besar China adalah tertakluk kepada kuarantin rumah selama 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan.

(foto Global Times)

Related posts

Leave a Comment