Pak Subky dalam kenangan

TANGGAL 23 Jun hari ini jam 11 pagi saya berada di pejabat ketika sedang bersembang mengenai tugasan harian bersama kakitangan Jabatan Editorial, rutin Ketua Pengarang sembang sambil beri input isu kepada wartawan, seperti ‘coffe talk’ tanpa kopi pagi-pagi.

Ketika sedang membidik beberapa isu, mesej masuk ke WhatsApp bertalu-talu bertanyakan perihal, benarkah Haji Subky Abdul Latiff telah kembali ke rahmatullah?

Saya menghulurkan satu pesanan ringkas yang saya terima dari bekas Timbalan saya, Saudara Azmi Yusof berkenaan perkembangan pagi ini yang dihantar anak kepada Almarhum Pak Subky iaitu Dang Fatihah mengenai perkembangan Pak Subky yang dipanggil anak-anak dengan gelaran Apak.

Pesanan berbunyi begini

As salam semua..oxygen Apak makin dropping..kami mmg dah bersedia dan redha dengan ketentuanNya..itu pesan Apak..harap semua dapat doakan semoga perjalanan Apak dipermudahkan..” pesanan Dang Fatihah yang disampaikan melalui saudara Azmi.

Kira-kira jam 11.35 bertaburan mesej menyatakan Pak Subky telah pergi buat selamanya, dan kemudian saya majukan soalan kepada beberapa kakitangan untuk pengesahan.Nyata bukan mimpi Pak Subky seorang penulis otai telah pergi, pergi meninggalkan kita dalam suasana amat hiba.

Sementelahan pula saya baru sahaja menulis mengenai perkembangan kesihatan Pak Subky selepas lawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Haji Kamaruzaman Mohamad ke rumah Almarhum pada Sabtu lepas.

Lebih empat keluaran sudah sebenarnya Pak Subky tidak menghantar tulisannya kerana keuzuran yang dihadapinya.Maka lebih empat keluaran juga lah pembaca tidak dapat menikmati jamuan mata dan jiwa hasil bidikan Pak Subky yang menjadi kegilaan ramai akan bait tulisannya.

Pemergian Almarhum itu merupakan satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan khususnya di negara ini.

Almarhum pernah terlibat dengan dunia kewartawanan dan surat khabar ketika bersama Utusan Malaysia pada tahun 60-an, akhbar Warta Negara, Suara Rakyat, Suara Merdeka, Watan dan Harakah.

Almarhum pernah menyertai Kursus Diploma Kewartawanan di Internationales Institut für Journalismus, Berlin Barat, Jerman pada tahun 1963 dan hingga kini, masih terus aktif penulis bersama akhbar Harakah dan portal Harakahdaily, sebelum meninggal dunia.

Ketika beliau berada di Utusan Melayu, Almarhum tempat ketiga dalam hierarki pimpinan Utusan Melayu iaitu Mazlan Nordin (Tan Sri), Osman Abadi dan beliau di tempat ketiga.

Dalam kalangan wartawan kanan yang telah lama bertugas di Utusan waktu itu, termasuk Zainudin Maidin (kini Tan Sri), Ali Salim (Jiro) dan lain-lain. Almarhum juga pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada mantan Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Pak Subky dilahirkan pada tanggal 28 Julai 1940 merupakan anak kelahiran Sungai Parit Panjang Laut, Setiawan, Perak dan meninggalkan seorang balunya, Puan Hajah Nahnah Taha serta lima orang anak dan 18 cucu.

Beliau disahkan meninggal dunia akibat sakit myelodyplastic syndrome (MDS) atau pre-leukimia sekitar jam 11.05 pagi ini, 23 Jun 2020 bersamaan 1 Zulkaedah 1441 Hijrah, di rumahnya di Gombak pada usianya 80 tahun.

Almarhum punyai gaya tulisan yang amat sukar disaingi, jauh sekali ditandingi. Bidikannya mampu memberi tsunami dalam bahasa yang amat santai.

Kias katanya amat membuka selera pembaca dan menjadi halwa mata yang menyebabkan Harakah terus diminati, malah mungkin peminatnya lebih ramai berbanding penulis lain yang baharu mencebur dalam dunia penulisan ini.

Saya pernah beberapa kali sepentas dengan Almarhum, dan paling akhir sekitar tahun 2017 di Punchong tatkala membentang penulisan kreatif dan motivasi penulis di sana.

Sejujurnya ketiadaan Pak Subky amat-amat memberi kesan kepada kami warga Harakah, apatah lagi dia adalah guru, penyeri muka 5 Harakah cetak dan antara pembidik hits HarakahDaily yang sangat berkesan.

Walaupun ada kala tulisannya pedas menyindir sketsa politik, namun ianya tetap dalam bahasa yang amat lunak dan cukup berbunga.

Dia disegani kawan dan lawan, dia unggul dalam mencerna idea mencatur tiap huruf menyangkut kata untuk dihasilkan bait ayat dan rencana yang memberi input bermakna.

Dia juga menjadi pakar dalam menamsilkan pandang sisi yang mungkin sedikit berbeza dengan penglihatan arca parti, namun jujurnya itu mengait ayat dengan nada sinis amat dihargai malahan saya yakin Tok Guru Presiden PAS juga mengamati tiap bidikan Pak Subky.

Hari ini dia pergi buat selamanya, dia pergi meninggalkan kita semua, para penulis yang baharu setahun jagung menulis, tak cukup rencah dan resepi seperti bidikan tulisannya.

Dunia penulisan seakan berkeluh kesah perginya seorang otai yang berbisa. Semua sahabat seangkatannya juga telah pergi jua.

Namun kita tetap mengutip semangatnya dalam meneruskan perjuangan dengan pena ini, kerana dia menjadi pemula kepada kami di sini, maka semangatnya masih menginspirasi kami tatkala ini agar bidikan Pena ini mampu setajam tamsilan Pak Subky suatu hari nanti.

Kau Pergi Jua Pak Subky….tatkala kami anak kecil ini masih bertatih dalam dunia ini.

Al Fatihah.Salam takziah buat keluarga Almarhum.

Rindu ini entah bagaimana…

WAN NORDIN WAN YAACOB

Penulis adalah Ketua Pengarang Harakah sejak 2015 hingga kini – HARAKAHDAILY 23/6/2020

Related posts

Leave a Comment