Kembali ke sekolah

SETELAH hampir tiga bulan bercuti di luar jadual, sesi persekolahan dibuka semula hari ini, 24 Jun 2020 tetapi secara berperingkat yang melibatkan pelajar yang mengambil peperiksaan awam, tingkatan lima dan enam.

Pembukaan ini berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) serta pematuhan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah,

Sekolah diarahkan tutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mulai 18 Mac diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan pandemik Covid-19.

Pelajar terlibat hari ini adalah yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Antara SOP pembukaan semula sekolah adalah pemeriksaan suhu setiap hari bagi murid, guru dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah iaitu mereka dengan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah.

Aktiviti di luar bilik darjah, seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka tidak dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

KPM akan menganalisis situasi selepas Tingkatan Enam Atas dan Tingkatan Lima memulakan kelas dan berbincang semula dengan KKM serta Majlis Keselamatan Negara sebelum memutuskan bila pelajar lain boleh kembali ke sekolah.

Related posts

Leave a Comment