ANAK bekas Menteri Pertahanan, Ahmad Saiful Islam Mohamad dihukum penjara lapan bulan setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu 24 Jun atas dakwaan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka pada awal tahun lalu.
Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim memutuskan keputusan tersebut dicapai selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah terhadap anak Mohamad Sabu itu.
Ahmad Saiful, 32 ditahan bersama 101 individu lain dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, awal tahun lalu.
Dia ditahan dalam serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 3 pagi.
Difahamkan Ahmad Saiful bersama rakannya berusia 33 tahun dipercayai sedang berhibur ketika operasi dijalankan.
Ujian saringan awal air kencing terhadap lelaki itu mendapati dia positif ganja.
Sementara itu, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara lapan bulan itu.
Majistret, Mohamad Aizat membuat keputusan itu selepas pasukan pembelaan memohon agar penangguhan dibuat sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 selain mengarahkan menyerahkan pasport dan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali