Dah boleh kenduri kahwin

MULAI 1 Julai, kerajaan  membenarkan penganjuran majlis sosial termasuk perkahwinan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun penganjuran majlis sosial tersebut perlu dihadkan antara tiga hingga lima jam sahaja dan kapasiti tetamu yang hadir tidak melebihi 250 orang bergantung kepada saiz tempat majlis tersebut diadakan.

“Majlis sosial ini merangkumi kenduri, majlis perkahwinan, ulang tahun perkahwinan, majlis keagamaan seperti tahlil, aqiqah, dan doa selamat, majlis-majlis seperti reunion, hari jadi dan lain-lain,” katanya dalam sidang media pada Rabu, 24 Jun.

Beliau menjelaskan, penjarakan sosial sepanjang majlis tersebut berlangsung perlu diamalkan, termasuk memastikan kapasiti di dalam ruang tersebut.

Katanya, jika kawasan tersebut tidak boleh memuatkan 250 tetamu, ia perlu dihadkan antara 100 hingga 150 orang dalam kawasan tersebut (mengikut saiz kawasan).

Kerajaan juga pada dasarnya membenarkan penganjur menyediakan hidangan bufet pada majlis sosial tetapi perlu dihidangkan oleh pramusaji sepanjang majlis tersebut berlangsung. Namun cara terbaik adalah secara hidangan.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) adalah perlu membuat saringan di pintu masuk, memeriksa suhu badan, dan tidak membenarkan mereka yang bergejala hadir.

“Penganjur dan tetamu digalakkan memakai pelitup muka dan penganjur mesti mendaftarkan tetamu dengan aplikasi MySejahtera atau direkod secara manual,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan menasihati mana-mana penganjur yang sukar untuk mematuhi SOP yang ditetatkan supaya tidak meneruskan panganjuran tersebut.

Related posts

Leave a Comment