Solat Jumaat di surau

KERAJAAN sedang mengkaji cadangan untuk membenarkan umat Islam menunaikan solat Jumaat di surau bagi memberi peluang lebih ramai menunaikan solat itu ketika masjid mengehadkan kehadiran jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Mentei Hal Ehwal Agama, Senator Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi catatan laman sosial Twitternya, pada Rabu berkata,  perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas kali Ke-7 Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

“Muzakarah yang dihadiri oleh semua Ashabus Samahah Mufti-Mufti dan Ahli-Ahli yang dilantik Majlis Raja-Raja membincangkan berkenaan cadangan kebenaran bagi surau untuk mendirikan solat Jumaat,” katanya.

Mengambil kira realiti Malaysia yang mempunyai bilangan surau yang banyak, usul tersebut diutamakan untuk dibawa bagi diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri.

“Usaha ini diusulkan bagi membolehkan lebih ramai umat Islam dapat menunaikan solat Jumaat dalam tempoh ini,” katanya melalui catatannya itu.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata kerajaan amat prihatin akan kegusaran umat Islam yang ingin kembali menunaikan solat Jumaat dalam tempoh ini.

“Semoga usul ini dapat dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri dengan sebaiknya,” ujarnya lagi.

Related posts

Leave a Comment