Singapura buka 66 masjid

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengumumkan 66 masjid di republik itu  akan menyambung semula solat Jumaat dan berjemaah lima waktu setiap hari mulai 26 Jun, dengan maksimum 50 jemaah setiap sesi di setiap masjid.

Dalam laman webnya, MUIS memperuntukkan dua sesi setengah jam setiap Jumaat, dengan selang 30 minit rehat di antara kedua-dua sesi untuk memastikan pengurusan orang ramai yang selamat.

Khutbah dan solat akan dipendekkan kepada maksimum 20 minit.

MUIS juga memaklumkan ibadah secara bersendirian di luar sesi solat berjemaah boleh diadakan tetapi tertakluk juga kepada had 50 orang pada satu-satu masa.

Bagi menguruskan permintaan untuk slot solat jemaah ini, MUIS telah membangunkan sistem tempahan atas talian.

MUIS akan menawarkan slot untuk tiga minggu pertama, pada 26 Jun, 3 Julai dan 10 Julai. Untuk tiga minggu ini, individu dibenarkan hanya satu slot bagi membolehkan lebih ramai ahli masyarakat berpeluang menunaikan solat Jumaat.

Para jemaah digalakkan untuk mengambil wudhu sebelum datang ke masjid juga mematuhi langkah-langkah yang diperlukan seperti memakai topeng muka pada setiap masa, membawa barangan solat dan beg peribadi sendiri untuk kasut, dan mengelakkan hubungan fizikal dengan jemaah lain.

Related posts

Leave a Comment