Kelantan ikut kapasiti sebenar

KOTA BHARU: Mulai esok, umat Islam di Kelantan dibenar mengadakan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah serta aktiviti di masjid, surau dan musalla.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata Sultan Kelantan Sultan Muhammad V telah memberi perkenan dengan dilaksanakan secara terkawal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kehadiran jemaah adalah berdasarkan kapasiti sebenar (saiz masjid) setelah diambil kira keperluan jarak sosial sekurang-kurangnya 1 meter termasuk di anjung dan pekarangan masjid dan surau.

“Masjid dan surau hanya akan dibuka satu jam sebelum waktu solat dan akan ditutup selepas solat disempurnakan. Pintu masjid hendaklah ditutup apabila bilangan jemaah mencapai kapasiti maksimum,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun masjid dan surau tidak dibenarkan beroperasi di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Tengku Mohamad Rizam berkata, bagi aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid dan surau boleh dilaksanakan kecuali aktiviti yang dilarang seperti kenduri, gotong-royong dan seumpamanya, manakala kuliah Maghrib dan Subuh dibenarkan dengan syarat jemaah mematuhi jarak sosial.

“Kuliah Maghrib ditamatkan sebaik sahaja masuk waktu Isyak dan tazkiran Subuh dilaksanakan selama 15 minit sahaja manakala majlis akad nikah dibenar dilaksanakan di masjid atau surau dengan mematuhi jarak sosial dengan bilangan tidak melebihi 20 orang dalam satu-satu masa,” katanya.

Beliau berkata, ruang terhad dibuka di masjid dan surau untuk mereka yang singgah solat seperti musafir, pemandu perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran.

Related posts

Leave a Comment