Gaza jadi ‘medan pembunuhan’

NEW YORK – Gaza seolah-olah sudah menjadi ‘medan pembunuhan’ berikutan Israel meneruskan serangan tentera di samping menyekat bantuan makanan, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Beliau berkata, lebih daripada sebulan, tanpa bantuan disalurkan ke Gaza sehingga penduduk kini sudah pun kebuluran atau diambang kebuluran.

“Tiada makanan. Tiada bahan api. Tiada ubat. Tiada bekalan barangan komersial. Apabila bantuan telah habis, kita kini mula nampak kekejaman perang ini,” katanya kepada wartawan.

Sambil merujuk kepada Konvensyen Geneva yang menetapkan perlakuan terhadap yorang awam ketika peperangan, Guterres menekankan kewajipan ‘kuasa pendudukan’ untuk memastikan bekalan makanan dan perubatan kepada penduduk.

“Tiada satu pun syarat berkenaan dipatuhi hari ini. Tiada bekalan kemanusiaan yang dapat memasuki Gaza,” katanya.

Katanya, sudah tiba masanya untuk menghentikan sifat tiada perikemanusiaan, melindungi orang awam, membebaskan tebusan, memastikan bantuan yang menyelamatkan nyawa dan memperbaharui gencatan senjata.

Bagaimanapun seorang pegawai Israel menafikan dakwaan itu dan mengatakan bahawa tiada kekurangan bantuan, sebaliknya menuduh rangkaian pengedaran yang tidak cekap menjadi punca bantuan gagal disampaikan.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Israel, Oren Marmorstein, menolak dakwaan itu, dengan mengatakan tidak ada kekurangan bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza.

Marmorstein mendakwa, Hamas menyalah gunakan bantuan baru-baru ini ke Gaza untuk membina semula keupayan perangnya.

Guterres juga merujuk cadangan Israel baru-baru ini untuk mengawal bantuan ke Gaza, yang mana sumber PBB memberitahu AFP bahawa ia untuk mengelakkan penyalah gunaan oleh Hamas.

“Pihak berkuasa Israel baru-baru ini mencadangkan ‘mekanisme kebenaran’ untuk penyampaian bantuan, yang dikhuatiri hanya mengetatkan kawalan dan mengehadkan bantuan hingga bekalan terakhir bijirin dan tepung.

“Biar saya jelaskan, kami tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang penyelarasan yang tidak menghormati sepenuhnya prinsip kemanusiaan,” katanya sambil menuntut jaminan untuk kemasukan bantuan tanpa halangan ke wilayah pantai.

Guterres juga membangkitkan kecemasan yang dihadapi penduduk Tebing Barat yang kini turut menyaksikan peningkatan serangan Israel.

Related posts

Leave a Comment