Indonesia dahului jumlah kes di Asia Tenggara

INDONESIA terus mencatatkan pertambahan kes positif Covid-19 apabila merekodkan 1,031 kes dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kes terkumpul sebanyak 41,431 kes. Jumlah ini tertinggi di Asia Tenggara.

Jumlah kematian pula meningkat kepada 2,276 orang dengan tambahan 45 lagi kematian bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 17 Jun.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 651 kes.

Ini diikuti provinsi Jakarta (563 kes), Jawa Barat (169), Kalimantan Selatan (141) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

SINGAPURA mengesahkan 247 lagi kes jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif kini pada 41,216 kes, demikian menurut kenyataan Kementerian Kesihatan republik itu.

Majoriti kes baharu tersebut melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama dengan hanya lima jangkitan dalam komuniti, membabitkan dua rakyat tempatan atau pemastautin tetap dan tiga pemegang pas kerja.    

Setakat tengah hari Selasa, seramai 31,163 pesakit atau 76 peratus daripada jumlah keseluruhan pada hari berkenaan telah pulih dan dibenarkan keluar hospital.

Terdapat 269 kes yang disahkan di hospital setakat semalam dengan dua dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi. Setakat ini Singapura merekodkan 26 kematian

FILIPINA melaporkan 457 kes lagi setakat pukul 4 petang hari ini, 17 Jun 2020, menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 meningkat kepada 27,238.

Jabatan Kesihatan (DOH) melaporkan, tambahan kes itu meliputi 342 kes terkini dan 115 kes lewat. Jumlah kematian pula meningkat kepada 1,108 dengan lima kes baharu yang dilaporkan.

DOH juga mengumumkan sebanyak 268 pesakit lagi pulih yang membawa jumlah pemulihan meningkat kepada 6,820.

THAILAND buat hari ke-23 bebas kes jangkitan tempatan dan tiada sebarang kes baharu dilaporkan termasuk melibatkan mereka yang dikuarantin.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Thailand (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, jumlah kes kekal 3,135, di mana 2,996 atau 95.57 peratus pulih. Sebanyak 81 pesakit masih dirawat di hospital.

Jumlah kematian pula kekal 58.

Setakat ini, 41,345 orang dikuarantin selepas pulang dari luar negara dan daripada jumlah itu, 198 dijangkiti. Ketika ini, 10,285 terus dikuarantin.

VIETNAM mengesahkan satu kes import baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini seramai 335 orang. Kes terbaru itu membabitkan seorang lelaki berusia 24 tahun, baru balik dari Kuwait pada Selasa, dan transit di Qatar. Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, di Ho Chi Minh, beliau dikuarantin dan didapati positif selepas ujian saringan.

Setakat ini Vietnam masih mengekalkan tiada jangkitan tempatan untuk 62 hari berturut-turut. Daripada 335 kes yang direkodkan, 195 membabitkan kes import dan yang dikuarantin semasa ketibaan. Kes sembuh pula 325 dan sifar kematian. 

Related posts

Leave a Comment