Awas gelombang kes denggi

BELUM selesai Covid-19, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan berlaku gelombang kedua atau peningkatan kes demam denggi mulai bulan ini hingga September ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun berlaku trend penurunan kes denggi sejak awal tahun ini, namun sejak enam minggu lepas terdapat trend peningkatan secara berterusan.

Katanya, purata peningkatan sebanyak lapan peratus setiap minggu dan sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini, 84 kes kematian demam denggi dilaporkan berbanding 83 kes pada tahun lepas.

“Berdasarkan siasatan awal terhadap 84 kes kematian demam denggi pada tahun ini, didapati 11 peratus telah lewat mendapatkan rawatan iaitu tiga hari selepas bermulanya gejala,” katanya di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh Januari hingga 6 Jun lepas, sebanyak 48,584 kes demam denggi dilapor berbanding 54,524 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lepas atau penurunan sebanyak 11 peratus.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan bermula pada Rabu ini, maka lebih banyak sektor ekonomi, aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan dan perniagaan bakal dibuka.

Kemungkinan kebanyakan tempat ini yang lama tertutup dan tiada pergerakan orang ramai berisiko menjadikannya tempat pembiakan nyamuk.

Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya mempertingkatkan tahap kebersihan di kawasan masing-masing terutama takungan air dan tempat-tempat yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk.

“Usaha membanteras nyamuk Aedes dan demam denggi adalah tanggungjawab kita semua, seperti mana masyarakat berganding bahu bagi memutuskan penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata tindakan pencegahan perlu diambil selaras dengan norma dan kelaziman baharu bagi mengekang penularan kes demam denggi.

Jelasnya, antaranya, pemilik premis perlu membuat pembersihan di dalam dan di luar premis setiap minggu; mana-mana premis atau ruang bilik yang telah lama tidak beroperasi, hendaklah disembur aerosol pada hari pertama sebelum digunakan selain melakukan aktiviti larvasiding (membunuh jentik-jentik).

Related posts

Leave a Comment