MENJELANG tarikh akhir Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), negara kembali merekodkan tiga digit kes positif harian Covid-19 apabila dalam tempoh 24 jam yang lalu merekodkan 277 kes baharu.
Bagaimanapun 270 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara daripada Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, di mana ini merupakan sampel ulangan bagi Orang Kena Tahan (OKT) yang dikuarantin di depot tahanan ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka telah terdedah kepada kes positif sebelum ini. Manakala satu (1) kes bukan warganegara adalah saringan tapak pembinaan di Pudu.
Sementara kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara Malaysia pula hanyalah empat kes.
Dalam masa sama, tiada sebarang kematian dicatatkan hari ini.
Angka baharu itu sekali gus menjadikan kes keseluruhan Covid-19 di negara ini adalah 8,247 kes.
Daripada jumlah itu, 1,573 kes merupakan kes aktif dan sedang mendapatkan rawatan.
Dalam tempoh sama, 28 kes pulih dicatatkan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adalah 6,559 kes.