111 diarah berpatah balik

SETAKAT Rabu, 3 Jun 2020, pemeriksaan kenderaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan kepada 290,432 berbanding 267,373 kenderaan pada hari sebelumnya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, pemeriksaan tersebut hasil daripada 140 sekatan jalan raya rentas negeri di seluruh negara dalam tempoh 24 jam.

Antara negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri yang tertinggi katanya adalah Kedah dengan 66 kes diikuti Selangor (25 kes) dan Melaka (14 kes).

Pasukan keselamatan juga telah mengarahkan 111 kenderaan untuk berpatah balik ketika cuba merentas negeri tanpa kebenaran.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 74,901 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

Selain itu, PDRM turut menahan 31 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPB.

Daripada jumlah itu, seramai 26 individu direman manakala lima individu lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

“PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 93 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB,” jelasnya.

Sementara itu, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) setakat Rabu melakukan sebanyak 7,532 operasi sanitasi yang merangkumi 132 zon.

Sebanyak 11,065 premis disanitasi yang terdiri daripada 2,644 pusat perniagaan, bangunan kerajaan (4,150), kawasan perumahan (1,583) termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam (2,336) dan pasar raya (352).

Related posts

Leave a Comment