JANGAN remehkan tarikh tamat tempoh. Mungkin ada dalam kalangan masyarakat yang ‘sayangkan’ barang makanan yang kelihatan elok tetapi sudah tamat tempoh. Tanpa mengambil kira risikonya, ada yang masih menggunakan bahan makanan berkenaan hanya dengan memutuskan masih ‘elok’.
Memang luarannya nampak elok tetapi hakikatnya adalah sebaliknya.
Di Kuala Tetengganu, kes keracunan makanan akibat puding buih yang melibatkan 99 pesakit di Terengganu baru-baru ini berpunca daripada penggunaan telur yang telah tamat tempoh. Telur yang sudah lebih dua minggu dari tarikh luputnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, tindakan menutup dapur premis untuk jualan puding buih tersebut telah diambil mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 selama 14 hari sehingga 7 Jun depan.
Baru-baru ini, seramai 99 pesakit menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hospital swasta dan rawatan sebagai pesakit luar di beberapa klinik kerajaan dan klinik swasta setelah cirit-birit, muntah-muntah dan demam selepas menikmati puding buih yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei lepas.
Daripada 99 kes tersebut, yang membabitkan 20 keluarga berlainan, 77 pesakit tinggal di Kuala Terengganu manakala 22 pesakit lagi dari daerah Marang.
Dr Alias berkata kerajaan negeri akan membuat satu kajian terperinci berhubung prosedur operasi standard (SOP) untuk peniaga makanan kecil-kecilan yang beroperasi di rumah dan memasarkan secara dalam talian bagi mengelak kejadian keracunan itu berulang.
“Kebanyakan mereka tidak mempunyai lesen berniaga, hanya memasak di rumah dan memasarkannya secara dalam talian yang kita tak tahu bagaimana pengendalian masakan dan tahap kebersihan yang diamalkan, “ katanya.