PUTRAJAYA : Jumlah kumulatif kes Covid-19 kini meningkat kepada 7,819 kes, berikutan penambahan 57 kes baharu ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
Daripada 57 kes baharu yang dilaporkan itu, 10 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.
Katanya, daripada 47 kes penularan tempatan, 43 adalah kes bukan warganegara Malaysia di mana 24 kes dikesan di depoh Imigresen Sepang dan 15 di Pahang yang merangkumi tiga kluster pekerja bukan warganegara, dan satu masing-masing kes bukan warganegara dari kluster Sungai Lui yang bekerja di Klang, PATI dan satu kes kluster Pudu.
Ini bermakna kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara adalah empat kes sahaja.
Tiada kes kematian dicatatkan hari ini dan jumlah kumulatif yang meninggal dunia kekal pada 115.
Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,351 dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.
Sembilan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.