MENJELANG beberapa hari lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri, terselak beberapa program yang ada kaitan dengan anak-anak yatim Kumpulan Utusan. Apa khabar anak-anak yatim Kumpulan Utusan? Walaupun Utusan tinggal nama, diharapkan hubungan kekeluargaan tetap terjalin. Semoga semuanya dalam keadaan baik.
Sedih juga tiada lagi majlis meraikan anak-anak yatim seperti yang sering dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini. Sama seperti orang lain, bukan sahaja anak-anak yatim malahan bekas pekerja juga menghadapi kesulitan yang ada antaranya dapat diketahui dan ada pula yang tidak disedari oleh ‘anggota keluarga besar Utusan’
Sudah menjadi lumrah setiap tahun, ketika majlis sambutan Nuzul al-Quran di pejabat, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad akan meraikan anak-anak yatim bekas kakitangan. Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) yang menjadi penganjur bersama akan mengumpul nama-nama mereka yang layak.
Anak-anak yatim Utusan dari seluruh negara akan dijemput. Begitulah keprihatinan Utusan terhadap anak-anak bekas kakitangan yang hilang tempat bergantung.
Mungkin ketika ini anak-anak yatim bekas kakitangan Utusan yang pernah menerima sumbangan walaupun tidak seberapa terutama sejak BKUM era kepemimpinan Wak @ Kamsari Hj Nor (yang saya ingat) sudah pun dewasa dan berjaya dalam kehidupan masing-masing.
Pada masa yang sama, anak-anak yatim dari luar terutama yang tinggal di rumah anak yatim juga tidak dilupakan. Mereka turut sama diraikan.
Majlis itu juga mendapat sokongan pelbagai pihak yang akan menaja sumbangan, hadiah atau berbuka puasa. Tidak ketinggalan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad atau ANGKASA. Jika tidak silap, ANGKASA bersama Kumpulan Utusan sebanyak lapan kali untuk meraikan majlis ini.
Sehingga ke saat terakhir hayat Utusan, ANGKASA tetap bersama menganjurkan majlis itu. Ramadan 1440 atau Mei 2019, adalah kali terakhir. Tahun ini Utusan hanya tinggal nama dan kebetulan, jika masih ada pun, mungkin program seumpamanya tidak dapat dilaksanakan akibat Covid-19.
Setiap kali program meraikan anak-anak yatim ini biasanya bermula sekitar pukul 5 petang. Pengisiannya termasuklah tadarus al-Quran, ceramah atau tazkirah, dan persembahan artis. Diakhiri dengan penyampaian sumbangan termasuk duit raya serta majlis iftar dan solat Maghrib.
Pada tahun 2017, sambutan lebih meriah apabila ANGKASA sebagai penganjur tetap turut mendapat sokongan Bank Islam Malaysia Berhad. Begitulah sokongan yang diberi terhadap program Kumpulan Utusan.
Terima kasih kepada semua yang menyumbang terutama ANGKASA di bawah kepemimpinan Dato’ Abdul Fattah Abdullah yang begitu prihatian dan tidak jemu-jemu menyumbang untuk menambah keberkatan. Seingat saya setiap kali Ramadan, ANGKASA juga menyumbangkan kurma untuk berbuka puasa.
Semoga Allah SWT sentiasa memurahkan rezeki kepada ANGKASA supaya program tanggungjawab sosial koperasi (CSR) dapat diperluas kepada masyarakat.