PUTRAJAYA: Semakin ramai yang cuba balik kampung. Jumlah kenderaan yang cuba balik kampung dengan merentas negeri menunjukkan peningkatan lebih sekali ganda kepada 3,212 kenderaan pada Selasa berbanding 1,633 pada Isnin.
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri berkata, trend itu menunjukkan masih ramai yang berminat untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri walaupun operasi ketat sedang dijalankan.
Setakat semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan 216 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan terhadap 318,082 kenderaan.
“Daripada seribu lebih yang kita anggap tinggi semalam, hari ini 3,200 lebih bermakna yang berminat nak balik kampung ni masih ramai dan cuba nak melepaskan sekatan jalan raya,” katanya.
Setakat ini hanya kes kecemasan sahaja dibenarkan dan mereka perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa.
Semalam, beliau mengingatkan supaya tidak terkejut apabila ada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) datang memeriksa rumah sewaktu sambutan perayaan nanti.
Ini kerana PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan di kawasan kediaman semasa sambutan perayaan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan ziarah dipatuhi.
Kerajaan sebelum ini menetapkan aktiviti ziarah-menziarahi semasa perayaan yang akan dirai dalam masa terdekat ini hanya pada hari pertama sambutan dan terhad kepada 20 orang, bergantung pada saiz kediaman.
Polis juga akan bertindak tegas termasuk mengenakan kompaun terhadap individu yang cuba melakukan pergerakan rentas negeri untuk menyambut Aidilfitri.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, ini kerana tindakan segelintir individu yang melakukan perjalanan rentas negeri tanpa alasan munasabah hanya mengganggu pergerakan petugas barisan hadapan yang kini berusaha mengekang penularan Covid-19.