PUSAT Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSC) Arab Saudi melancarkan siasatan berhubung insiden pendaratan cemas pesawat penumpang Flydubai FZ1073 di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Sultan bin Abdulaziz di bandar Tabuk, barat laut negara itu.
Pasukan penyiasat keselamatan penerbangan itu telah memulakan siasatan dan sedang menyelaras dengan pihak berkuasa bagi mengenal pasti keadaan yang membawa kepada insiden itu, mengesahkan aspek berkaitan keselamatan penerbangan serta mengumpul maklumat dan bukti.
Pesawat itu dalam penerbangan dari Dubai ke Tel Aviv sebelum ia dilencongkan ke Arab Saudi.
Flydubai memaklumkan, berlaku “pertengkaran di kokpit” dan kru berjaya mengawal keadaan dalam pesawat serta melencongkannya dengan selamat ke Arab Saudi.
Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Sultan bin Abdulaziz sebelum itu memaklumkan Pusat Kawalan Trafik Udaranya menerima panggilan kecemasan daripada penerbangan FZ1073 pada 8.44 pagi waktu tempatan yang memohon untuk melakukan pendaratan cemas.
Lapangan terbang itu memaklumkan, kapten dan pegawai pertama cedera dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Penerbangan yang membawa seramai 174 penumpang itu dilaporkan menghantar kod kecemasan antarabangsa “7700” dan kemudiannya “7500”, iaitu kod yang digunakan untuk menunjukkan berlaku campur tangan menyalahi undang-undang terhadap pesawat, termasuk kemungkinan rampasan pesawat.
Terdahulu media melaporkan penumpang dan kru berjaya menggagalkan cubaan juruterbang kedua untuk merempuhkan pesawat yang dalam penerbangan dari Dubai ke Tel Aviv, selepas lelaki itu didakwa menikam juruterbang dan menyebabkan pesawat menjunam hampir 14,000 kaki dalam tempoh kurang 30 saat.
Menurut pegawai Israel, insiden itu berlaku apabila juruterbang kedua menyerang kapten pesawat di kokpit, sebelum cuba mengambil alih kawalan penerbangan.
Kapten yang cedera parah bagaimanapun berjaya menekan suis pelepas pintu kokpit, membolehkan penumpang dan kru memasuki ruang berkenaan sebelum menundukkan suspek.
Tindakan pantas mereka turut membolehkan dua lagi juruterbang yang berada dalam pesawat itu mengambil alih kawalan dan melakukan pendaratan cemas dengan selamat di Tabuk.
Lebih 10 jam kemudian, kira-kira pukul 5.40 petang kesemua penumpang menaiki pesawat gantian dan tiba dengan selamat di Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv.
Nnnn
