Imam Tarawih dari Makkah

SEJAK 2011, setiap kali Ramadan, imam dari Makkah akan diundang bagi mengimamkan solat sunat Tarawih lapan rakaat di Surau Al-Huda Utusan Melayu di Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin dan kemudiannya di Jalan Utusan.

Undangan itu secara tidak langsung memberi peluang para petugas yang bekerja dapat merasai suasana di masjid dan surau yang sering menampilkan imam dari luar terutama melibatkan negara Palestin, Syria dan Mesir.

Bagi Surau Al-Huda Utusan, bukan sahaja imam dalam kalangan pekerja seperti Kamsari Nor dan Radzi Zin memimpin solat tetapi juga ramai imam jemputan tempatan diundang secara bergilir.

Idea mengundang imam Makkah ini saya lontarkan kepada Pengerusi Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) ketika itu, Kamsari Nor pada tahun 2011. Kebetulan rakan, Nazir Hussin Akhtar Hussin mempunyai hubungan baik dengan
Sheikh Dr. Idris Mashrafi serta Masjid Kampung Baru yang mengundang imam itu.

Syukurlah dalam kesibukan memenuhi jemputan selain Masjid Kampung Baru, imam masih ada ruang untuk surau Utusan. Jemputan Utusan tidak pernah dikecewakan. Beliau akan mencari tarikh yang sesuai jika undangan terlewat.

Biasanya sebelum Ramadan atau awal Ramadan pihak masjid telah diminta untuk memasukkan jadual imam di Utusan. BKUM biasanya mencadangkan tarikh.

Ada satu ketika, tarikh dipinda setelah imam secara tiba-tiba tidak dapat menolak undangan mengejut pihak tertenu. Bagaimanapun beliau tidak pernah mengecewakan hasrat surau dan tarikh baharu akan dimaklumkan.

Terima kasih juga kepada Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru, Idris Shaari Mat Aris yang sentiasa menyusun atau mencari tarikh imam berkunjung ke Utusan bagi membantu menjayakan hasrat BKUM ini.

Pada peringkat awal, risau juga dengan sistem pembesar suara surau yang mungkin tidak sesuai. Kadang-kadang apabila sistem tidak baik, lantunan suara ketika bacaan kurang enak didengar. Bagaimanapun masalah itu diatasi. Malam itu sistemnya ada sedikit keistimewaan.

Imam turut bersama berbuka puasa dengan kakitangan walaupun kebiasaannya tidak banyak yang dijamah. Hanya selepas Tarawih baru betul-betul jamah.

Biasanyan menu wajib berbuka jika meraikan kehadiran imam adalah kari kambing.dan roti Arab. Istimewa sedikit. Moreh pula sup dengan roti.

Selain mengimamkan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih serta Witir, tazkirah ringkas juga diadakan . Kadang-kadang beliau diminta mengulas isu semasa tetapi bukan untuk siaran. Penterjemah akan membantu walaupun beliau kadang-kadang menyelitkan sedikit bahasa Melayu.

Dalam tempoh tujuh kali memenuhi undangan itu, dua kali beliau sempat bersama di surau di bekas kilang Utusan. Keadaan lebih selesa apabila Utusan berpindah ke bangunan baharu pada 2013. Selesa dengan bilik tetamu untuk berehat, makan di kafe dan yang pastinya surau lebih luas.

Tahun pertama ke bangunan baharu, imam turut dibawa melawat Jabatan Pengarang Utusan Malaysia di tingkat 4. Sempat mendengar serba sedikit mengenai operasi di jabatan itu.

Sebelum ini, ketika di bangunan lama beliau sekadar berada di surau dan di bilik lembaga pengarah untuk rehat dan makan. Kami pun ‘tidak berani’ pelawa kerana keadaan pejabat ketika itu.

Tahun 2017 merupakan Ramadan terakhir beliau diundang Pada 2018, ketika imam yang juga pengerusi surau ketika itu, Radzi Zin bertanya tentang imam Makkah, masa agak suntuk. Maklumlah Mei bulan pilihan raya umum, masing-masing sibuk dan kebetulan tahun kejatuhan pemerintah yang diterajui Barisan Nasional (BN).

Hasrat hati hendak membawa semula imam pada tahun 2019 tetapi keadaan memang tidak mengizinkan dan saya ketika itu bersama Wak Kamsari juga telah melangkah keluar mengucapkan selamat tinggal kepada Utusan.

Dan 2020, surau Utusan pada Ramadan ini terpaksa ditinggal sepi – tiada lagi solat berjemaah, tazkirah Ramadan, Tarawih dan Witir. Mungkin juga secara kebetulan, nasib surau Utusan sama seperti masjid dan surau lain di seluruh negara – sudah dua bulan ditutup akibat wabak Covid-19.

Related posts

Leave a Comment