Tiada kes baharu di Thailand

SINGAPURA mengesahkan 465 kes positif baharu Covid-19 dengan majoriti besar melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja asing. Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 27,356 kes.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH), data awal sehingga tengah hari, hari ini menunjukkan hanya empat kes melibatkan warganegara Singapura atau penduduk tetap.

Singapura sehingga kini mengklasifikasikan 1,327 sebagai kes komuniti, 580 kes import, 435 kes melibatkan pekerja asing yang tinggal di luar asrama dan 24,549 kes melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja.

Sejumlah 7,248 kes pulih manakala 1,124 kes yang disahkan masih berada di hospital dengan 18 di dalam unit rawatan rapi manakala jumlah kematian 21.

Sementara itu THAILAND melaporkan jumlah kes kekal 3,025 dengan 56 kematian apabila negara itu sekali lagi melaporkan sifar kes baharu Covid-19 dan kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berharap tiada kes baharu dan kematian, dalam tempoh lebih lama atau sekurang-kurangnya satu angka kes baharu memandangkan fasa kedua pelonggaran sekatan bermula esok.

Daripada 3,025 kes, seramai 2,855 pesakit telah sembuh dan discaj manakala 114 masih lagi menerima rawatan.

Sejak pelonggaran sekatan fasa pertama pada 3 Mei, Thailand merekodkan kes harian baharu satu angka kecuali pada 4 Mei yang merekodkan 18 kes melibatkan bilangan tahanan yang sama di pusat tahanan imigresen di wilayah selatan Songkhla.

Thailand, negara pertama di luar China melaporkan kes Covid-19 mencatatkan peningkatan harian tertinggi sebanyak 188 kes yang disahkan pada 22 Mac. 

Di INDONESIA, kes positif Covid-19 meningkat kepada 17,025 berikutan penambahan 529 kes baharul

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 13 lagi kematian berlaku, menjadikan kes kematian kini berjumlah 1,089 orang.

Provinsi Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 460 kes, diikuti Jawa Timur (183 kes), Jawa Barat (100) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Sementara itu Jabatan Kesihatan FILIPINA merekodkan 214 kes baharu menjadikan kes keseluruhan 12,305.

Sebelas kematian juga dilaporkan menjadikan jumlah kematian 817 sementara  kes pulih kini meningkat kepada 2,561 kes susulan 101 lagi kes pulih.

Related posts

Leave a Comment