Darurat ‘ubati’ negara ?

PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyarankan supaya kuasa pentadbiran negara diletakkan di bawah MAGERAN sebagai pilihan terakhir bagi melakukan ‘pembetulan’ serta mencari penyelesaian terhadap semua masalah negara.

Presidennya Ibrahim Ali berkata, perisytiharan darurat selama tiga tahun itu dicadangkan sekiranya ‘keadaan tidak terkawal’ sebelum kembali semula kepada sistem demokrasi berparlimen untuk menghadapi Pilihan Raya Umum  Ke-15.

Beliau membuat saranan itu bagi ‘mengubati’ apa yang disifatkannya pelbagai penyakit yang dihadapi negara termasuk berkaitan kepemimpinan politik.

“Perisytiharan Darurat bererti menyerahkan kuasa pentadbiran negara di bawah MAGERAN seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969 dahulu,” katanya dalam perutusan sempena setahun penubuhan Putra hari ini, 8 Mei.

Ibrahim berkata dalam tempoh itu, Parlimen digantung dan parti-parti politik pula dibekukan atau lockdown selama tiga tahun.

“Tempoh tiga tahun itu digunakan untuk kembali semula ke ‘papan hitam atau drawing board bagi membuat pembetulan serta mencari penyelesaian terhadap semua masalah negara” katanya.

Ibrahim berkata, masalah negara  yang dihadapi kini tidak mungkin boleh diselesaikan dengan kepemimpinan politik yang didakwanya hilang wibawa sementara negara memerlukan ‘pembedahan’ bagi mengubati penyakit yang makin parah.

Menurut Ibrahim, negara ketika ini berada dalam keadaan bahaya akibat Covid-19 yang meragut nyawa dan menyebabkan kedudukan ekonomi semakin gawat serta rakyat hilang pekerjaan dan perniagaan.

Negara juga dihimpit oleh lain-lain masalah dan isu-isu yang amat serius termasuk isu perkauman dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Begitu juga isu pelarian Rohingya, pelancong Cina dan India yang tidak pulang,  isu penjualan Mykad yang merupakan pengkhianatan terhadap negara, penghinaan terhadap Islam, Raja-Raja Melayu dan terhadap umat Melayu juga semakin merisaukan.

“Negara diibaratkan seperti telur di hujung tanduk. Kestabilan politik terancam kerana Kerajaan PN disebut sebagai kerajaan pintu belakang walaupun sah di sisi undang-undang tetapi tidak sah di sisi moral dan maruah, “ katanya.

Katanya, cakap-cakap bahawa kerajaan tidak lama, boleh tumbang pada bila-bila masa tidak memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur dan boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara.

BACA perutusan penuh di FB Parti Bumiputera Perkasa Malaysia – PUTRA

Related posts

Leave a Comment