KKM teliti aktiviti masjid

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melalui Ketua Pengarahnya, Dr. Noor Hisham Abdullah telah meneliti cadangan garis panduan bagi pelaksanaan aktiviti keagamaan dan surau untuk mencegah jangkitan Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengesahkan perkara itu  di laman Facebook miliknya, pada Jumaat.

Garis panduan itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang akan berlangsung pada Jumaat.

“Soal bilakah masa yang sesuai untuk pelaksanaannya, kita berpandukan kepada nasihat dan saranan Kementerian Kesihatan selaku pihak yang berkepakaran.

“Akan tiba masanya satu hari nanti, semua rumah ibadah akan dibuka dan kita kembali mengimarahkannya dengan penuh kegembiraan dan keinsafan,” katanya dalam kenyataan Facebook itu.

Pada 4 Mei lalu, Zulkifli memaklumkan masjid dan surau mungkin akan dibuka semula dalam waktu terdekat, bergantung kepada nasihat KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, keputusan itu mungkin diperoleh jika pihak berkuasa berpuas hati dengan garis panduan yang dikemukakan, selain trend kerjasama rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Related posts

Leave a Comment