MAHKAMAH bebas membuat keputusan berkaitan hukuman atau denda terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, tiada campur tangan kerajaan dalam penentuan hukuman sebaliknya bergantung kepada budi bicara badan kehakiman berdasarkan fakta-fakta kes.
“(Perbezaan denda di bawah Akta 342) mungkin kerana fakta kes yang berbeza, dan itu yang menyebabkan hakim memutuskan sedemikian,” katanya dalam sidang media harian.
Beliau mengulas reaksi segelintir pihak susulan perbezaan bayaran denda terhadap pesalah yang ingkar PKP di mana terdapat pesalah yang dikenakan hukuman denda RM400, RM500, RM800 dan RM1,000.
Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau juga dikenali sebagai Akta 342 digunakan di negara ini susulan penularan pandemik Covid-19.
Ia digubal untuk meminda dan menyatukan undang-undang berkait pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit yang berlaku dalam negara. Ia juga untuk mengadakan peruntukan atau peraturan berkenaan perkara yang berkaitan.
Selain itu, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 ini turut memperuntukkan sesiapa yang disabitkan kesalahan di bawah undang-undang tersebut akan didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.