PUTRAJAYA : Sebanyak 45 kes baharu Covid-19 dan satu kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 6,428 kes manakala kematian 107 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 44 daripada kes baharu itu melibatkan kes jangkitan tempatan dan satu kes import.
Katanya 135 kes pulih sementara jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,619 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Kes kematian ke-107 (kes ke-2380) pula merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 51 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.
Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 5 Mei 2020 pukul 2.53 petang.
Sehingga kini, seramai 22 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, sembilan kes memerlukan bantuan pernafasan.