Kes meningkat di Singapura

SEBANYAK 14 lagi kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam di INDONESIA menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 845 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata, sebanyak 349 kes baharu dilaporkan menjadikan kes positif 11,192 kes dalam tempoh 24 jam.

Ketika ini, sebanyak 23,130 pesakit masih lagi berada dalam pengawasan virus itu.

Provinsi Jakarta mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu 398 kes, diikuti Jawa Timur (111), Jawa Tengah (85) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

SINGAPURA mengesahkan tambahan 657 kes positif Covid-19, dengan hanya 10 daripadanya melibatkan rakyat Singapura, atau penduduk tetap.

Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan berkata sebahagian besar daripada kes itu melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Susulan angka terbaharu, jumlah kes positif di Singapura kini ialah 18,205.

Jumlah kes dalam kalangan pekerja asing tidak menentu sejak beberapa hari lepas disebabkan usaha menangani kes tertangguh oleh sebuah makmal.

Dalam data terperinci yang dikeluarkan lewat Sabtu, Kementerian itu berkata oleh kerana tiada lagi kes yang dikaitkan dengan bar Hero di Circular Road dan The Orange Ballroom di Geylang Road sejak berlalu dua tempoh inkubasi, kluster berkenaan telah ditutup.

Daripada angka 17,548 yang dicatatkan Sabtu, Singapura mengelaskan 1,211 sebagai kes komuniti, 579 sebagai kes import dan 551 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama.

Jabatan Kesihatan FILIPINA merekodkan 295 kes baharu sehingga pukul 4 petang 3 Mei menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 9,223.

Pada masa yang sama empat kematian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 607 sementara jumlah kes sembuh meningkat kepada 1,214 apabila 90 lagi kes dilaporkan pulih..

THAILAND mencatatkan tiga kes baharu Covid-19 dan kematian sifar dalam tempoh 24 jam, serentak pembukaan semula enam jenis perniagaan dan tempat hari ini.

Setakat ini, Thailand mencatatkan 2,969 kes Covid-19 dan 54 kematian serta 2,739 kes pulih dan didiscaj dari hospital.

Bagaimanapun sebanyak 40 kes baharu dikesan di empat daerah di Yala – Bannang Sata, Jaha, Raman dan Mueng Yala (lokasi fasiliti kuarantin ditempatkan) berikutan penemuan kes aktif. Jumlah yang direkodkan pada Ahad tidak termasuk 40 kes baharu di Yala.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata 40 kes positif itu akan menjalani satu lagi ujian makmal bagi memastikan ketepatan ujian.

Related posts

Leave a Comment