Pfizer, BioNTech untuk kanak-kanak

PFIZER dan BioNTech menyatakan vaksin keluaran kedua-dua syarikat itu berupaya mencetuskan tindak balas imun yang kuat dalam tubuh kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Justeru kedua-dua syarikat tersebut merancang untuk meminta kelulusan bagi menggunakan vaksin masing-masing pada kanak-kanak dalam kumpulan usia tersebut di Amerika Syarikat, Eropah dan tempat-tempat lain secepat mungkin.

Syarikat-syarikat itu menyatakan bahawa vaksin mereka mencetuskan tindak balas imun dalam kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dalam ujian klinikal Fasa II/III, setara dengan apa yang diperhatikan pada golongan 16 hingga 25 tahun.

Profil keselamatan secara amnya setanding dengan kumpulan usia yang lebih tua, menurut kedua-dua syarikat itu.

“Sejak Julai, kes-kes pediatrik COVID-19 telah melonjak hampir 240 peratus di Amerika Syarikat- menekankan betapa pentingnya untuk orang ramai divaksin,” menurut ketua eksekutif Pfizer Albert Bourla dalam satu kenyataan media.

Kes-kes dalam kalangan kanak-kanak turut meningkat, terutamanya memandangkan kanak-kanak bawah usia 12 tahun tidak divaksin. Tetapi tidak ada petunjuk varian Delta lebih berbahaya pada anak-anak.

Pfizer dan BioNTech menjangkakan data mengenai keberkesanan vaksin dalam kalangan kanak-kanak yang berusia antara dua hingga lima tahun dan antara enam bulan hingga dua tahun akan dikeluarkan seawal suku keempat tahun ini.

Related posts

Leave a Comment